Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) mungkin akan menerapkan gaya permainan daripada Atletico Madrid selepas pengendali pasukan itu, Datuk Ong Kim Swee memberi bayangan akan menurunkan ilmu yang dipelajarinya ketika berada di sana selama sebulan.
Kim Swee berkata demikian kepada Berita Harian, menegaskan beliau perlu menilai pendekatan yang mahu digunakan sama ada bersesuaian dengan pemain muda negara ataupun tidak.
“Ilmu dapat diserap tanpa mengira dari mana ia datang. Apa yang penting adalah kita tahu sama ada boleh atau tidak kita menggunakan corak yang sama di Atletico Madrid dengan set pemain yang kita ada buat masa ini.
“Apa yang baik, saya akan bawa bersama namun apa yang saya fikir belum lagi bersedia untuk diterapkan kepada pemain, saya akan tunggu pada masa yang lebih sesuai,” katanya.
Bulan lalu, beliau bersama penolong jurulatih, Brad Maloney diberi peluang menimba ilmu kejurulatihan di kelab gergasi La Liga itu selama sebulan.
Sebelum ini, jurulatih kelahiran Melaka itu mengikuti program kejurulatihan bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris berpangkalan di London, Queens Park Rangers (QPR) selama sebulan pada Februari tahun lalu.
Sepanjang berada di Sepanyol, Kim Swee menceritakan beliau kagum dengan persiapan pasukan yang hebat seperti Atletico Madrid dan telah mempelajari sesuatu yang baharu untuk dibawa ke Malaysia.
“Atletico Madrid adalah pasukan yang cukup besar dan segala persiapan serta kemudahan yang mereka miliki sememangnya lebih baik. Corak latihan juga berbeza dengan mereka memiliki sehingga lapan pembantu jurulatih.
“Ini membuktikan betapa seriusnya mereka dan dengan persekitaran sebegitu di pusat latihan mereka, ia cukup memudahkan Simeone untuk menerapkan corak latihan yang dimahukan.
“Namun harus diingat Atletico Madrid memiliki pemain dengan kualiti yang baik sekali gus membolehkan mereka melakukan apa yang sudah dirancang,” katanya.
Kim Swee juga memberikan bayangan kemungkinan ramai pemain skuad Malaysia U-21 akan disenaraikan untuk mengharungi saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia, pada Ogos ini.
“Kita seharusnya realisitik kerana jika kita menghantar pasukan terbaik, sudah tentu kita mahu sekurang-kurangnya melepasi peringkat kumpulan dan mara ke peringkat suku akhir.
“Tetapi jika kita tidak mampu mendapatkan pemain terbaik, kita perlu mempertimbangkan sasarannya kerana kita akan memberi pendedahan kepada pemain berusia 21 dan 22 tahun sebagai persediaan untuk mengharungi pusingan Kelayakan B-23 pada tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
“Selepas ini, kita akan terbabit dengan kejohanan jemputan PSSI yang akan bermula pada 28 April ini. Kita akan mula berlatih pada 20 April dan itu adalah pelan jangka masa pendek kita buat masa ini.
“Kemudiannya, kita akan melakukan persiapan untuk ke Sukan Asia,” katanya.