‘Super Derbi’ Juventus & AC Milan, Tentukan Hak Ketuanan Bola Sepak Itali

Jika anda mencari negara manakah yang mempunyai derbi perlawanan bola sepak terpanas, anda harus melihat ke Itali. Bukan sahaja kerana bandar-bandar utama bola sepak seperti Rom, Turin dan Genoa mempunyai sekurang-kurangnya dua buah kelab bola sepak.

Lebih daripada itu di Itali bola sepak sering digunakan oleh penyokong setiap kelab sebagai medan merebut ketuanan dan kebangaan di wilayah masing-masing.

Selain daripada perseteruan di peringkat wilayah, derbi di Itali yang sering panas juga melibatkan perseteruan antara bandar di utara dan selatan serta dua kuasa industri di negara berkenaan, Milan dan Turin.

Turin, Itali.

Pengenalan

Walaupun dengan pelbagai pencapaian yang menghiasai kejayaan lalu, pertemuan di antara Juventus dan AC Milan tidak pernah dianggap sebagai sebuah perlawanan derbi.

Tetapi perseteruan di antara kedua-dua bandar yang dijarakkan 141KM, lebih sinonim dengan persetruan antara Juventus dan Inter, yang digelar Derbi d’Italia.

Milan, Itali.

Namun jika kesungguhan, perlawanan membabitkan I Rossoneri dan I Bianconeri turut tidak kurang rencahnya.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan sentiasa dinantikan oleh penyokong yang mulai menghangatkan suasana, dan barisan pemain yang turun untuk bertarung sesama sendiri.

Dua bandar: Milan dan Turin

Bagi penyokong setia AC Milan, senarai gelaran oleh kelab yang tertubuhnya pada 1899 ini melayakkan mereka untuk dianggap pasukan yang lebih berjaya daripada jiran mereka- Inter Milan.

Ini bermakna, bagi mereka AC Milan adalah kelab yang lebih besar dan layak untuk mewujudkan perseteruan dengan La Vecchia Signora, dan pasaukan yang lebih layak untuk Derbi d’Italia atau seumpamanya dengan Juventus.

Jika anda bertanyakan penduduk Milan, perdebatan mengenai perkara ini tidak akan mempunyai pengakhiran. Terma Derbi d’Italia dimulakan oleh wartawan sukan terkenal, Ganni Brera pada 1967, pada ketika Inter dan Juventus sedang mendominasi Serie A.

Derbi di antara Juventus dan AC Milan bagaimanapun tidaklah seperti yang ramai sangkakan. Perseteruan tersebut hanya membara pada dua pertemuan Serie A setiap musim.

Baki 363 hari lagi di dalam tempoh setahun, Juventus dan AC Milan memiliki hubungan baik sesama mereka, dengan kerjasama strategik melibatkan pelbagai aspek termasuk pemasaran, projek pembangunan, dan persetujuan bahawa musuh bersama mereka sebenarnya adalah Inter Milan.

In the picture: Coreography

Begitu juga dengan senarai pemain berprofil tinggi yang telah beraksi untuk kedua-dua pasukan seperti Roberto Baggio, Filippo Inzaghi, Edgar Davids, Zlatan Ibrahimovic, Gianluca Zambrotta dan Andrea Pirlo.

Terbaru ialah pemain pertahanan tengah Itali, Leonardo Bonucci yang menyertai Milan daripada Turin pada musim panas yang lalu.

In the pic: Marco Fassone Leonardo Bonucci

Walaupun perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan seperti kekurangan kehangatan kerana hubungan baik kedua-dua kelab, pertemuan Mina dan Juventus adalah antara yang sering dinanti-nantikan oleh peminat sukan bola sepak dari seluruh dunia.

Ia diibaratkan ‘super derbi’, perlawanan untuk menentukan kejaguhan di antara dua kelab bola sepak di Itali.

Pertemuan epik

Pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pasukan ialah pada 28 April 1901 di Turin. Pada ketika itu, pertandingan bola sepak di Itali diadakan secara kalah mati.

Milan menewaskan Juventus 3-2 di saingan separuh akhir, sebelum menewaskan Genoa 3-0 di perlawanan akhir untuk gelaran pertama mereka.

Juventus 1901

Antara perlawanan yang paling dikenang membabitkan kedua-dua kelab, tiba 9 tahun kemudian. Kedua-dua pasukan dipertemukan sekali lagi pada 14 Januari 1912, kali ini diadakan di Porta Monforte di Milano; arena AC Milan di antara 1906-1914.

Kali ini Milan menundukkan Juventus 8-1, dan merupakan kemenangan terbesar yang pernah dicatatkan oleh Milan terhadap Juventus.

Perseteruan di Serie A pertama bermula pada 4 Mei 1930, menyaksikan gol minit akhir Giueseppe Torriani menyamakan kedudukan selepas jaringan awal perlawanan pemain Juventus, Raimundo Orsi.

5 daripada 8 gol di dalam perlawanan tersebut dijaringkan oleh Louis Van Hege. Pemain kelahiran Belgium ini tampil 91 kali dan menjaringkan 97 gol sepanjang bersama AC Milan.

Pada 12 Mac 1989, Milan yang di bawah bimbingan Arrigo Sachi pada ketika itu seolah-olah mengajar Dino Zoff apa itu taktikal bola sepak apabila membelasah Juventus 4-0.

Manakala kekalahan terbesar Milan di tangan Juventus tiba pada 6 April 1997, apabila dua gol daripada Vladimir Jugovic dan Christian Vieri, penalti daripada Zinedine Zidane dan Nicola Amoruso melengkapkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Milan.

Kemudian tiba era Carlo Ancelotti dan Fabio Capello apabila kejuaraan Serie A menjadi taruhan. Dan kejuaraan pada 2005 akhirnya milik Juventus, ditentukan melalui sepakan gunting Alessandro Del Piero ditanduk masuk David Trezeguet untuk gol tunggal perlawanan.

Juventus dan AC Milan hari ini

Sejak kali terakhir Rossoneri menjuarai Scudetto pada musim 2010/11, bola sepak Itali mulai diwarnakan dengan warna hitam dan putih; lambang dominasi Juventus walaupun adakalanya penguasaan Juventus dicabar oleh pasukan seperti Roma atau pun Napoli sejak beberapa musim lalu.

Berbaki 9 perlawanan, Juventus hanya memiliki kelebihan 2 mata ke atas Napoli di kedudukan teratas Serie A. Dan pada musim ini, persaingan untuk kejuaraan liga adalah di antara Napoli dan Juventus, dengan Roma berada di kedudukan ketiga, 16 mata di belakang pendahulu.

Milan pada hari ini mungkin tidak segah dahulu. Namun perubahan yang telah dilakukan oleh Gennaro Gattuso sejak mengambil alih daripada Vincenzo Montella sejak November 2017 harus tidak dipandang ringan.

Gennaro Gattuso

Hasil kerja Gattuso wajar dipuji setelah berjaya mendiamkan pengkritik dengan hasil di atas padang.

Beliau telah menggunakan seluruh pengalaman yang beliau miliki sebagai pemain untuk mengembalikan keyakinan ke dalam skuad sedia ada.

Gennaro Gattuso

Ia juga pasti akan menjadi perlawanan yang istimewa buat Bonucci yang bakal beraksi buat pertama kali menentang bekas pasukannya.

Walaupun mengakui barisan pemain yang dimiliki Juventus berada di tahap berbeza dari segi kualiti, Gattuso menegaskan tidak akan ke Turin untuk bertahan.

“Jika kami mampu mengikut perancangan di fasa bertahan dan serangan, maka kami mampu menghasilkan sesuatu menentang Juventus,” ujar Gattuso dalam sidang media menjelang perlawanan.

Massimiliano Allegri

Bagi jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, ia adalah satu kesilapan jika pemain-pemainnya mulai memberikan fokus kepada Real Madrid yang menanti mereka di saingan UEFA Champions League (UCL) pada pertengahan minggu.

Allegri menyifatkan ia seperti ‘ketinggalan satu gol’ kepada Milan jika pemain terlalu memikirkan Los Blancos dan mengabaikan perlawanan menentang AC Milan.

Massimiliano Allegri, Mario Mandzukic (Photo by Gabriele Maricchiolo/NurPhoto via Getty Images)

Walaupun mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan di perlawanan akhir musim lalu, pengendali Juventus itu mahu fokus oleh pemain-pemainnya diberikan terlebih dahulu kepada perlawanan menentang AC Milan.

“Kami hanya boleh fikirkan mengenai perlawanan malam ini, atau Juventus berhadapan risiko seperti sudah ketinggalan satu gol ketika berhadapan AC Milan,” ujar jurulatih Juventus itu di laman sesawang kelab berkenaan.

Penutup

Jika Juventus menyasarkan kedudukan teratas Serie A kekal milik mereka, AC Milan mahu sekurang-kurangnya mencuri slot ke Eropah pada musim hadapan.

Senario pertemuan kedua-dua pasukan mungkin sudah berbeza dengan perlawanan yang dilangsungkan pada dekad-dekad sebelumnya.

Namun taruhan 3 mata pada malam ini masih terlampau mahal untuk dilepaskan, dan mempunyai nilai yang berbaloi untuk diperjuangkan.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN