Ayam tambatan Real Madrid, Cristiano Ronaldo telah mempamerkan prestasi luar biasa memasuki tahun 2018 selepas aksi kurang meyakinkan pada permulaan musim panas yang lalu.
Pemain berusia 33 tahun itu telah mencipta 21 jaringan dalam 11 penampilan terakhir bersama Real Madrid.
Beliau juga turut mencetak dua gol pada penghujung permainan untuk bangkit bagi menewaskan Mesir pada siri perlawanan persahabatan minggu lalu.
Keadaan itu membuatkan penjaga gol legenda dari Itali, Gianluigi Buffon menyifatkan Ronaldo sebagai ‘pembunuh’ di hadapan gol.
Musim lalu, Cristiano Ronaldo dua kali menewaskan Buffon pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan Real Madrid muncul juara buat dua tahun berturut-turut.
Manakalan pada minggu hadapan, Buffon bakal sekali lagi berdepan tugas sukar untuk mengawal gawangnya dari dibolosi apabila Juventus akan membuat perhitungan menentang Real Madrid pada peringkat suku akhir di Allianz Stadium, Turin.
”Seiring dengan waktu, dia (Cristiano Ronaldo) telah belajar bagaimana untuk memperbaiki dirinya sebagai seorang atlet.”
”Saya sangat mengagumi dirinya kerana dia seorang yang pragmatik, jelas dalam segala yang dilakukan dan apa jua yang dikatakannya.”
”Saya fikir dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia telah menunjukkan bahawa dia sangat pintar kerana dia telah mengubah cara permainannya.”
”Dia juga merupakan seorang pemusnah. Segala apa yang dilakukannya adalah 100% dan ketika di hadapan pintu gol, dia adalah seorang ‘pembunuh’.”