Kehilangan khidmat penyerang berbisa, Francis Forkey Doe bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini ternyata meresahkan pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh yang mengesahkan penyerang import dari Liberia itu terpaksa berehat panjang.
Menurut laporan Berita Harian, Doe mengalami kecederaan kaki kanan ketika bertembung dengan penjaga gol kedah, Ifwat Akmal pada aksi pusingan ketiga Shopee Piala FA minggu lalu dan memerlukan tempoh panjang untuk pulih.
“Saya tak sangka kecederaan dialami Doe begitu serius ketika skuad ini berada pada prestasi terbaik.
“Dia sudah membuktikan kepada pasukan dan penyokong bahawa sentuhannya masih lagi berbisa dan membantu pasukan mencatat kemenangan.
“Ketiadaannya begitu dirasai dalam pasukan terutama di bahagian serangan yang dilihat cukup bagus apabila bergandingan dengan Patrick Cruz,” kata Dollah.
Walaubagaimanapun, ketiadaan Doe tidak melunturkan semangat skuad Tok gajah yang sedia menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir shopee Piala FA pada 6 April ini.
“Perkara utama perlu dilakukan adalah membentuk kembali pasukan ini supaya lebih bagus terutama memastikan ketajaman di bahagian serangan,” katanya.
Selain Doe, Pahang masih mempunyai beberapa penyerang yang masih boleh diharapkan iaitu Patrick Cruz, Norshahrul Idlan Talaha, Chan Vathanaka dan penyerang skuad Malaysia B-23, Kogileswaran.
Dalam saingan Liga Super, Doe membuktikan dia masih penyerang berbisa apabila menjaringkan tiga gol selepas lima perlawanan.