Chelsea mendapat pengkhabaran gembira menjelang perlawanan penting yang merupakan ‘Derbi London’ apabila akan bertemu Tottenham Hotspur pada hujung minggu ini setelah Alvaro Morata disahkan pulih sepenuhnya daripada sebarang kecederaan.
Penyerang antarabangsa Sepanyol itu tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan pada dua perlawanan persahabatan terakhir ketika menentang Jerman dan Argentina.
Tetapi, perkara tersebut adalah satu keadaan yang positif buat pengendali dari Itali itu apabila Morata mempunyai lebih ruang masa di Pusat Latihan Cobham untuk memberikan penyerang berusia 24 tahun itu lebih masa bagi mendapatkan sentuhan terbaiknya.
”Masa ini sangat penting buat Alvaro (Morata). Minggu lalu dia telah bekerja dengan sangat baik. Saya merasakan dia perlu terus bekerja keras kerana dia terlepas aksi selama sebulan akibat kecederaan belakang yang dialaminya,” jelas Antonio Conte.
”Kini dia telah pulih sepenuhnya, 100 peratus. Dia telah bersedia untuk aksi penting pada hujung musim ini untuk Chelsea dan mencerahkan peluang untuk beraksi dalam Piala Dunia.”
Alvaro Morata yangsebelum ini ketandusan jaringan kembali mencipta gol buat Chelsea pada perlawanan suku akhir Piala FA bertemu Leicester City apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-42.
Dalam pada itu, Antonio Conte beranggapan jentera serangan Tottenham Hotspur masih berbahaya walaupun tanpa kelibat Harry Kane yang dilaporkan mengalami kecederaan buku lali.
”Saya merasakan kami akan membicarakan soal salah seorang penyerang terbaik di dunia. Apabila anda menjaringkan 30 gol pada setiap musim, sudah pasti anda akan merasai kehilangan terhadap penyerang yang sedemikian.”
”Tetapi pada masa yang sama saya turut merasakan Tottenham adalah sebuah pasukan yang penting. Mereka mempunyai ramai pemain yang penting, berbakat dan mereka bermain bola sepak yang hebat dengan intensiti yang hebat.”
”Keadaan masa lalu juga menunjukkan walaupun ketiadaan Kane yang terlepas banyak perlawanan kerana kecederaan masih tidak mengubah pasukan tersebut.”
Aksi pertama buat kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini berakhir dengan kemenangan berpihak Chelsea setelah menumpaskan Spurs dengan keputusan 2-1 di Stadium Wembley.