Tindakan Ronald Koeman mempertaruhkan pemain remaja bagi aksi perlawanan persahabatan menentang England di Amsterdam awal pagi Sabtu ini dan kemudian perlawanan kedua mereka di Geneva menentang Portugal awal pagi tadi membuahkan hasil yang lumayan.
Koeman yang dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan Belanda bulan lalu berjaya meraih kemenangan pertama selepas mengemudi pasukan kebangsaan Belanda apabila menang selesa 3-0 mengatasi Portugal.
Naib juara tiga kali Piala Dunia itu gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun ini di Russia, namun pertemuan kedua Koeman selaku jurulatih menyaksikan jaringan Memphis Depay, Ryan Babel dan Virgil van Dijk membantu kemenangan itu.
Ia malam yang mengecewakan buat juara Eropah, Portugal menjelang Piala Dunia ketika tonggak pasukan, Cristiano Ronaldo menjadi individu terpencil hanya selepas tiga hari dua jaringannya menumbangkan Mesir 2-1.
“Mereka ada empat peluang dan menjaringkan tiga gol, mereka berhak menang,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.
“Dua tahun lalu, sebelum Euro, kami tewas di laman sendiri kepada Bulgaria. Saya tidak rasa kami hilang keyakinan, saya masih percaya pemain ini pada masa depan.”
Belanda yang tewas 1-0 kepada England di Amsterdam Jumaat lalu, membuka jaringan pada minit ke-11 ketika Depay mendapat gol pertama buat Koeman apabila dia meledak dari dalam kotak penalti.
Jaringan itu hadir ketika Portugal mendominasi peringkat awal permainan dengan kombinasi luar biasa 5-3-2 digunakan Belanda.
“Kami mengambil keputusan bermain dengan sistem sama sekali berbeza berbanding pernah digunakan pasukan sejak bertahun lalu,” kata bekas bos Everton, Koeman.
“Perbezaan antara malam ini dan Jumaat lalu ialah kami lebih selesa dan menjaringkan gol dengan pantas. Pasukan ada keyakinan.” – AFP