Ketua pasukan Barcelona, Andres Iniesta menyifatkan pasukannya masih merupakan sebuah pasukan yang baik walaupun angin semakin bertiup kencang bahawa bintang dunia, Neymar akan ke seteru utama, Real Madrid.
Neymar menjadi pemain termahal dunia pada Ogos lalu apabila Paris Saint-Germain mengaktifkan klausa perpindahan yang bernilai €222 juta bagi mendapatkan pemain antarabangsa Brazil itu, namun beliau dilaporkan tidak gembira dengan kehidupan di Paris.
Selepas itu desas-desus sering kedengaran bahawa Real Madrid cukup berminat bagi membawa pemain berusia 26 tahun ini ke Santiago Bernabeu sejak beliau meninggalkan Barcelona.
Mengulas mengenai khabar angin penghijrahan bekas rakan sepasukannya itu di sebuah radio Sepanyol, El Larguero, Iniesta berkata:
”Sejujurnya, masa depan Neymar bukanlah perkara yang berada dalam pemikiran saya.”
”Kebiasaannya, apabila anda sudah meninggalkan sesuatu tempat, sukar untuk anda kembali.”
”Kerana itu ianya akan lebih mengejutkan kami jika dia kembali berbanding menyertai pasukan lain, tetapi kami akan melihatnya.”
”Sekiranya mereka menandatangani beliau, Real Madrid telah mendapatkan salah seorang daripada pemain terbaik di dunia.”
”Namun begitu kami masih mempunyai skuad yang saya boleh anggap lebih baik.”
Walaupun kehilangan Neymar pada musim panas yang lalu, ianya langsung tidak memberikan kesan yang mendalam buat Barcelona apabila skuad bimbingan Ernesto Valverde itu kini sedang menghuni tangga teratas La Liga dengan kelebihan 9 mata.
The Blaugrana turut masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan La Liga selepas mengharungi 29 perlawanan.