Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyifatkan bahawa pemain tengah, Dele Alli merupakan pemain berusia 21 tahun yang terbaik di dunia ketika ini.
Penerima anugerah ‘PFA Young Player Of The Year’ bagi dua musim berturut-turut ini sedang menikmati prestasi terbaiknya bersama Tottenham.
Alli yang juga merupakan pemain antarabangsa England telah menjaringkan enam gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pochettino ternyata memberikan pujian kepada anak muda yang bakal menjangkau usia 22 tahun pada bulan hadapan.
Dalam pada itu, Pochettino beranggapan kritikan diberikan kepada Alli adalah perkara yang sukar untuk difahami buat dirinya.
”Apabila anda membandingkan Dele Alli, berusia 21 tahun dengan pemain lain di dunia, tidak hanya di Eropah. Saya berasakan dia adalah yang terbaik,” ujar Pochettino kepada akhbar di UK.
”Pada usianya. Dengan persembahan yang ditampilkan. Bantuan jaringan dan segalanya. Tetapi saya tidak memahami kenapa masih ada yang mempunyai perasaan seperti itu (mengkritik).”
”Beritahu saya seorang pemain berusia 21 tahun yang lebih baik berbanding dia dan dengan apa yang dikecapinya. Mungkin anda akan menjumpai yang sepertinya tetapi lebih baik dari dia?”
”Mungkin saya tidak objektif kerana dia adalah pemain saya tetapi pada saya, dia sangat menakjubkan.”
Di samping itu, Pochettino mahukan sesuatu yang lebih baik dari Alli dan beliau memuji perkembangan positif dilihat sejak kehadirannya di kelab London itu pada tahun 2015.
”Kami mengharapkan yang lebih baik dari dia? Ya, sudah tentu tetapi dari hari pertama kami memberikan penampilan pertamanya bersama kami, dia telah menunjukkan dirinya sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia.”
”Mungkin tidak penting bagi orang ramai yang mengkritiknya untuk mendengar penjelasan dari saya kerana saya hanya merupakan seorang jurulatih yang ‘simple’.
”Tetapi saya berjanji kepada anda, saya merupakan seorang yang sangat kritikal dengan pemain saya. Sangat sukar untuk mengkritik Dele (Alli).”