Mencetak gol merupakan misi utama dalam setiap perlawanan bolasepak. Ia merupakan tujuan penting bagi kedua-dua pasukan untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan.
Pelbagai gaya dan versi telah berjaya dilakukan oleh ramai pemain untuk menjaringkan gol. Ada gol terindah, namun ada juga gol yang tercipta melalui jaringan ke gawang sendiri (own goal).
Tidak pernah ada dalam sejarah bolasepak dimana gol dihasilkan ke gawang pasukan sendiri, sengaja dilakukan oleh pemain kepada pasukannya melainkan jika pemain tersebut terlibat dalam skandal rasuah mengatur perlawanan.
Jom kita imbas kembali, 8 jaringan sendiri menarik yang pernah dilakukan para pemain sejak tahun 2010.
1. Nils Petersen ( 2013/14 – Wender Bremen vs Mainz 05 )
Pada 12 April 2014, Mainz 05 telah melayan kunjungan Bremen di Coface Arena, Mainz bagi saingan Bundesliga musim 2013/14.
Empat minit bermulanya perlawanan, Mainz telah mengejutkan pelawat dengan jaringan menarik yang tercetus dari satu sepakan sudut.
Jaringan tersebut terhasil melalui pemain Wender Bremen itu sendiri, Nils Petersen. Petersen dengan mudahnya menyambut hantaran sepakan sudut tersebut dengan melakukan sepakan lambung terus ke gawang pasukannya.
Apa yang mengejutkan, jaringan ke gawang sendiri itu turut disambut oleh rakan sepasukan. Dalam perlawanan itu, Mainz 05 mencatatkan kemenangan 3-0 keatas Wender Bremen.
2. Richard Dunne ( 2014/15 QPR vs Liverpool )
Richard Dunne terkenal sebagai pemain yang paling banyak mencetak gol ke gawang sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL)
Pemain yang lahir pada 21 September 1979 ini telah beraksi di pentas EPL sejak 1997. Dalam tempoh waktu tersebut, beliau telah menyertai banyak pasukan EPL, antaranya Everton, Manchester City, Aston Villa dan Queens Park Rangers (QPR).
Rekod tercatat bahawa Dunne telah berjaya menjaringkan hampir 10 jaringan ke gawang sendiri dan salah satunya terjadi pada 19 Oktober 2014 ketika pasukannya QPR menentang pasukan Liverpool.
Dalam perlawanan tersebut, QPR tewas 2-3 dan satu gol tersebut terhasil menerusi jaringan dari Dunne.
3. Gareth Bale ( 2012/13 Spurs vs Liverpool )
Siapa sangka Gareth Bale yang kini beraksi bersama pasukan gergasi Eropah, Real Madrid pernah menjaringkan gol ke gawangnya sendiri ketika beliau bersama Tottenham Hotspurs.
Pada musim 2012/13, ketika perlawanan berlangsung di White Hart Lane diantara Tottenham Hotspur bertemu Liverpool. Spurs yang dibimbing oleh André Villas-Boas berjaya mendahului perlawanan perlawanan tersebut dengan menjaringkan dua gol dihadapan.
Sehingga pada minit ke-71, Liverpool berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan sendiri Gareth Bale.
Gol itu terhasil melalui sepakan sudut yang diambil oleh kapten Liverpool, steven Gerrard. Apa yang melucukan, gol tersebut terhasil selepas Lennon cuba untuk mengeluarkan bola lalu terkena muka Bale.
4. Gerard Pique ( 2012/13 Barcelona vs Bayern Munich )
Musim 2012/13, pada perlawanan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, Bayern Munich telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka merupakan pasukan terhebat pada musim tersebut.
Mereka berjaya mengaibkan Barcelona 4-0 di Allianz Arena pada perlawanan pertama. Kekalahan tersebut merupakan kekalahan terburuk Barcelona terhadap Bayern sejak kedua-dua pasukan itu bertemu di pentas Eropah.
Barcelona berharap kunjungan semula Bayern ke Camp Nou dapat membalaskan kelukaan diatas kekalahan 0-4 di Jerman. Namun, Bayern Munich masih terlalu unggul bagi Barcelona.
Meskipun bermain di Nou Camp, Barcelona ternyata gagal mencetak gol ke gawang Bayern yang dikawal oleh Manuel Neuer. Apa yang memalukan, jaringan sendiri dari Gerard Pique membantu Bayern menewaskan Barcelona 3-0.
Jaringan itu terhasil apabila Pique menyambut hantaran lintang dari Franck Ribery. Gol memalukan itu telah mendapat kencaman hebat kepada pengurus pasukan ketika itu, mendiang Tito Vilanova supaya mengembalikan semula prestasi skuad Barcelona.
5. Christoph Kramer ( 2014/15 Borussia Monchengladbach vs BVB Dortmund )
Pada 9 November 2014 telah berlangsungnya perlawanan diantara Dortmund dan Monchengladbach yang diadakan di Westfalenstadion.
Stadium Dortmund bergema pada minit ke-58 apabila Christoph Kramer menjaringkan gol ke gawang pasukannya.
Apa yang menjadi persoalan penyokong ketika itu, bagaimana jaringan itu terjadi sedangkan Kramer langsung tidak diberi tekanan dari pemain-pemain Dortmund.
Kramer melakukan backpass lambung ke belakang yang membuatkan situasi salah faham diantara beliau dan penjaga gol pasukannya, Yann Sommer .
Bola itu terus masuk ke gawang dengan sendiri. Apa yang lebih parah, gol sendiri yang dihasilkan Kramer merupakan gol kemenangan untuk Dortmund.
Jaringan kontroversi itu telah menjadi berita panas di Jerman. Ada yang beranggapan bahawa, Kramer terbabit dalam skandal mengatur perlawanan dan meminta untuk Persatuan Bolasepak Jerman ((Deutscher Fußball-Bund — DFB) melakukan siasatan kepada pemain tersebut.
Namun, selepas siasatan, Kramer terlepas dari tuduhan tersebut.
6. Santiago Vergini ( 2014/15 Sunderland vs Southampton )
Tidak dapat digambarkan betapa sedihnya apabila melihat pasukan kesayangan tewas kepada pasukan lawan dengan jumlah jaringan yang besar. Lebih menyakitkan hati lagi, apabila salah satu jaringan tersebut terhasil dari jaringan sendiri ke gawang pasukan.
Inilah nasib yang menimpa pasukan Sunderland pada tanggal 14 Oktober 2014 dalam satu perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Southampton.
Dalam perlawanan tersebut, Sunderland dimalukan 0-8 dihadapan penyokong sendiri. Lebih memalukan apabila Vergini telah menjaringkan gol sendiri yang boleh dikatakan gol sendiri yang tercantik pernah dilakukan pemain profesional.
Vergini meledak gol pada minit ke-12 sekaligus memberi tamparan hebat buat pasukan Sunderland. Sunderland ketika itu sedang berusaha untuk menyamai kedudukan selepas mereka ketinggalan 1-0 pada minit-minit awal perlawanan.
7. Phil Jones ( 2017/18 Manchester United vs Spurs )
Baru terjadi pada musim ini di Wembley pada perlawanan EPL diantara Tottenham Hotspur bertemu Manchester United.
The Red Devils ketinggalan 1-0 pada awal babak perlawanan yang dihasilkan oleh Christian Eriksen.
Jaringan Eriksen itu membuatkan Jose Mourinho mula mengatur strategi baru untuk mengempur benteng pertahanan pasukan tuan rumah.
Namun, ketika mereka sedang cuba melakukan corak serangan, Spurs berjaya menjaringkan gol kedua mereka selepas membuat serangan balas ke kubu United.
Lebih parah, jaringan kedua Spurs dihasilkan oleh pemain Manchester sendiri, Phil Jones. Jaringan Jones itu kekal sehingga tamat perlawanan meletakan pasukan Spurs berjaya menewaskan United 2-0 di Wembley.
8. Eric Bailly (2017/18 Manchester United vs Liverpool )
Yang terkini, North West Derby ke-200 baru sahaja berlangsung dan Manchester United disahkan sebagai pemenang di Old Trafford.
Man United menang 2-1 menewaskan Liverpool melalui dua gol Marcus Rashford, dan satu gol saguhati Liverpool terhasil melalui gol sendiri pemain Man United, Eric Bailly.
Bailly menjaringkan gol ke gawang sendirinya pada babak kedua perlawanan. Bailly menjaringkan gol ala akrobatik yang telah berjaya menewaskan rakan sepasukan, David De Gea pada minit ke-66.
Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan. Kekalahan Liverpool tersebut, mendapat kutukan dari peminat-peminat setia Manchester United, dimana mereka mengunakan situasi jaringan “Eric Bailly” membantu Liverpool untuk mendapatkan gol memandangkan pemain Liverpool telah gagal melakukan hal demikian.