Semalam, pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menerima kunjungan daripada Presiden LaLiga, Javier Tebas di Johor Bahru.
Menurut FMLLP, sebelum pertemuan tersebut, satu sesi perkongsian telah berlangsung di antara Tebas bersama wakil 24 pasukan Liga Malaysia 2018.
Antara topik yang dibincangkan ialah tentang sistem peraturan kawalan kewangan yang telah dilakukan oleh LaLiga sejak beberapa tahun yang lepas bagi menjana kestabilan ekonomi pasukan serta badan penganjur liga gergasi Sepanyol tersebut.
Dalam sesi tersebut, pihak La Liga turut menjelaskan dengan mengenakan kawalan ekonomi dan kewangan kepada pasukan, ianya dapat mengurangkan kes melibatkan kegagalan pembayaran gaji pemain serta mengurangkan hutang yang dibayar oleh pasukan kepada agensi cukai di Sepanyol.
Selain itu, ianya dapat mempengaruhi pengawalan harga dalam pembelian pemain di sana.
Malah menurut FMLLP, ketika sesi soal jawab di antara wakil La Liga dengan wakil Liga Malaysia, Tebas bersetuju bahawa ‘Reserve Team’ (pasukan simpanan) bermain di dalam liga profesional seperti yang dilakukan oleh FMLLP dan bukan di dalam liga khas yang khusus untuk pasukan ‘Reserve Team’ sahaja.
Tebas juga turut menegaskan pentingnya meningkatkan produk serta penjenamaan sesebuah pasukan lebih-lebih lagi dalam era digital ini.
“Kita sekarang berada di era digital. Penaja lebih mencari pasukan yang mempunyai media sosial yang kuat, mempunyai pengikut yang ramai serta berpengaruh.
“Ini salah satu platform yang dapat menjana pendapatan kepada pasukan pada masa kini.” katanya.