Dua hari selepas memecat Mauricio Pellegrino, Southampton FC melantik Mark Hughes sebagai pengendali baharu kelab tersebut sehingga ke akhir musim ini.
Pengurus berusia 54 tahun itu akan mulai mengendalikan latihan skuad The Saints mulai hari ini dengan Mark Bowen serta Eddie Niedzwiecki turut menyertai perlantikan Hughes sebagai anggota staff kejurulatihan.
Hughes yang pernah tampil sebanyak 60 kali sebagai pemain bersama kelab tersebut berkata:
“Ia adalah cabaran yang saya sudah tidak sabar untuk mulakan. Perlantikan ini adalah peluang terbaik untuk kembali menyertai kelab yang sudah lama saya kenali. Ia adalah kelab yang mempunyai pertalian istimewa dengan diri saya, dan saya tidak boleh menolak amanah yang diberikan.”
“Saya membawa pengalaman yang saya miliki di Liga Perdana Inggeris. Saya tahu akan tuntutan yang diperlukan untuk memenangi perlawanan. Tetapi perkara terutama pada ketika ini ialah untuk membantu memnerikan fokus yang diperlukan oleh pemain dalam baki saingan pada musim ini.”
“It’s a club I have an affinity with and I couldn’t turn the opportunity down.”
Mark Hughes on becoming #SaintsFC‘s new First Team Manager: pic.twitter.com/Tys0w0hJB6
— Southampton FC (@SouthamptonFC) March 14, 2018
“Objektif pada kali ini sangat jelas, iaitu untuk memastikan kelab mampu kekal bersaing di Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan. Itulah matlamat yang kita cuba laksanakan.”
Hughes bukan watak asing di dalam bola sepak Inggeris, dan dipecar daripada Stoke City pada Januari lalu. Pemecatan Hughes oleh Stoke tiba setelah prestasi buruk sehingga kelab berkenaan menduduki tiga tangga tercorot.
Dua musim sebelum itu, pengendali berasal daripada Wales ini membimbing Stoke untuk mengakhiri saingan di tangga ke-9, dan kemudian di tangga ke-13 pada musim lalu.
Bekas penyerang Manchester United yang turut pernah beraksi bersama Barcelona dan Bayern Munich ini memulakan karier di dalam bidang pengurusan bersama skuad kebangsaan Wales pada 1999.
Selepas itu, Hughes turut pernah mengendalikan Blackburn, Manchester City, Fulham dan juga QPR sebelum menyertai Stoke pada 2013.
Southampton kini berada di kedudukan ke-16 Liga Perdana Inggeris dan hanya mempunyai kelebihan 1 mata daripada zon penyingkiran.
Cabaran Hughes bersama Southampton akan dimulai dengan saingan peringkat suku akhir Piala FA bertemu Wigan di Stadium DW pada Ahad akan datang.