Perak mencatatkan kemenangan 3-0 keatas Selangor pada perlawanan unifi Liga Super Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium TLDM, Lumut sebentar tadi.
Perak dan Selangor turun pada perlawanan ke-5 saingan liga ini dengan misi untuk memperoleh kemenangan selepas kedua-dua pasukan tewas dalam dua perlawanan terakhir.
Sebaik sahaja perlawanan dimulakan, tuan rumah bermula garang seawal minit ke-2 setelah tandukan Leandro Dos Santos hanya singgah di tiang gol Selangor.
Pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad turut mencipta peluang bagi membuka tirai jaringan apabila sepakan dari tengah padang yang diambil beliau hampir memerangkap Khairul Azhan Khalid.
Penjaga gol pasukan pelawat itu bagaimanapun berjaya menepis percubaan tersebut walaupun berada dalam keadaan ‘off position’.
Jaringan pertama Perak menjelma pada minit ke-20 hasil jaringan sendiri Ashmawi Yakin yang tertanduk bola ke gawang sendiri berpunca daripada lontaran ke dalam dilakukan Nasir Basharuddin.
Anak buah Mehmet Durakovic terus melebarkan kedudukan menerusi Kenny Pallraj pada minit ke-35.
Kombinasi menarik berjaya dicipta Perak bagi menghasilkan jaringan ini.
Gerakan dimulakan dengan larian dari Nor Hakim Hassan yang mencari Gilmar Jose Da Silva. Gilmar kembali melorongkan kepada Nor Hakim untuk menghantar ke Wander Luiz Bitencourt.
Wander Luiz kemudiannya melakukan hantaran ‘back heel’ kepada Kenny Pallraj yang meluru pantas lalu meledakkan jaringan kedua tersebut.
Ketika perlawanan babak pertama hampir ke penghujung, Gilmar turut meletakkan nama selaku penjaring menerusi ledakan kencang yang sekaligus menewaskan Khairul Azhan.
Tidak dapat dinafikan Perak begitu berbahaya pada babak pertama dan pemain Selangor kelihatan begitu bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor memiliki peluang keemasan pada minit ke-63 menerusi Joseph Kallang Tie.
Namun, rembatan yang dilakukan dalam kotak penalti berjaya dihalang oleh Nazirul Naim Che Hashim ketika Hafizul Hakim Khairul Nizam sudah pun tertewas.
Gilmar turut terlepas peluang bagi mencipta jaringan susulan rembatan yang dilakukannya hasil hantaran Nor Hakim terkena tiang gol dan Norazlan Razali yang menggantikan Khairul Azhan menyelamatkan keadaan.
Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Willian Pacheco dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua akibat kekasaran terhadap Nasir Basharuddin pada minit ke-85.
Walaupun peluang semakin sukar buat Selangor, Rufino Segovia mencemaskan pintu gol Perak akibat kesilapan dari Hafizul Hakim. Mujur Robert Cornthwaite pantas untuk menafikan percubaan tersebut.
Tiga jaringan pada babak pertama yang dihasilkan kekal hingga tamat perlawanan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad Kejor Yop Skor manakala kekalahan ketiga berturut-turut dicatatkan Selangor dalam saingan Liga Super.