Undian pusingan ketiga Shopee Piala FA 2018 semalam menyaksikan 2 finalist musim lalu, Pahang dan Kedah bakal berentap di Stadium Darul Makmur minggu depan.
Mengulas mengenai keputusan undian itu, penolong pengurus Kedah, Haris Che Mat berkata kepada Berita Harian, mereka menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak gentar berhadapan dengan pasukan gergasi pantai timur itu.
“Kami menerima keputusan undian itu dan akan melakukan persiapan rapi serta terbaik untuk menghadapi skuad kendalian Dollah Salleh.
“Rentak dan corak permainan kedua-dua pasukan sentiasa menjadi tumpuan bukan saja untuk penyokong malah pemerhati seluruh negara.
“Pahang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri tapi kali ini saya yakin pemain kami mampu memberi saingan terbaik berbekalkan pengalaman yang ada,” katanya.
Beliau turut berkata skuad Helang Merah sememangnya tidak sabar turun beraksi mencipta lebih banyak kejayaan selepas berhempas pulas menewaskan Negeri Sembilan di pusingan kedua.
“Semangat pemain dan pasukan semakin melonjak selepas menempa kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan layak ke pusingan ketiga Piala FA.
“Misi kita seterusnya adalah memburu tiga mata selepas bangkit mencipta tiga kemenangan bermula dengan kemenangan ke atas PKNP, PKNS dan yang terbaru dalam aksi Piala FA menentang Negeri Sembilan.
“Saya yakin ketua jurulatih, Ramon Marcote mempunyai ramuan serta strategi terbaik untuk Kedah bagi menghadapi kedua-dua perlawanan itu,” jelasnya.
Skuad Tok Gajah pastinya akan turun dengan misi mahu membalas dendam selepas tewas 3-2 untuk membolehkan Kedah menjulang trofi itu di Stadium Shah Alam tahun lalu.
“Tahun lalu, kami tewas dalam aksi final. Jadi, sudah tentu ia akan menjanjikan satu perlawanan yang menarik,” kata pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh.