Undian Pusingan Ketiga Shopee Piala FA Malaysia, Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Undian pusingan ketiga Shopee Piala FA Malaysia 2018, telah berlangsung pada petang tadi.

16 pasukan yang telah berjaya mara diundi untuk pertemuan membabitkan 8 perlawanan, yang dijadualkan akan berlangsung pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sumber: FMLLP, Facebook.

Di antara 8 perlawanan tersebut, empat perlawanan menyaksikan pertembungan di kalangan pasukan daripada saingan unifi Liga Super Malaysia.

Kedah vs Pahang

Antara yang paling menarik perhatian ialah Kedah yang telah diundi menentang Pahang. Kedua-dua pasukan merupakan finalis pada tahun lalu.

Perlawanan akhir Piala FA 2017, menyaksikan Kedah gah membawa pulang trofi Piala FA Malaysia ke utara tanah air, selepas menewaskan Pahang 3-2, dalam perlawanan yang penuh dramatik.

Namun saingan pada musim ini tampil berbeza. Tatkala jurulatih Dollah Salleh masih terus diberikan kepercayaan oleh pengurusan Pahang FA untuk mengemudi skuad Tok Gajah pada musim ini, Kedah mendapat sentuhan jurulatih daripada Sepanyol, Ramon Marcote.

Kedua-dua pasukan juga turut mengalami perubahan skuad yang agak ketara, dengan Pahang melepaskan sekurang-kurangnya 12 pemain pada penghujung musim lalu.

Manakala Kedah pada musim ini tampil tanpa penyerang import berbisa, Ken Ilso yang memilih Pulau Pinang pada musim ini.

Terengganu FC vs Selangor

Undian membabitkan kedua-dua pasukan ini turut menjadi tumpuan ramai selepas undian selesai dilakukan.

Pada musim lalu, skuad Irfan Bakti membuktikan mereka mampu mara jauh dalam pertandingan ini, apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, sebelum disingkirkan Kedah dengan agregat 4-0.

Setelah bermula dengan agak baik di dalam kempen unifi Liga Super Malaysia pada musim ini, skuad Penyu pasti mensasarkan Piala FA sebagai medan terbaik untuk mereka menjulang sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini.

Selangor di bawah kendalian jurulatih P. Maniam dikejutkan oleh Negeri Sembilan pada musim lalu, apabila tewas melalui penentuan sepakan penalti pada musim lalu.

Walaupun dengan kelompok pemain muda yang baharu, P.Maniam psati turut tidak mahu terlepas memberikan saingan di dalam pertandingan ini.

Setelah ditewaskan oleh Terengganu 4-1 di Kuala Terengganu pada Februari lalu dalam saingan liga, pertemuan kedua-dua pasukan di peringkat ini adalah medan terbaik skuad Red Giants untuk membalas dendam.

Sumber: TFC, Facebook

PKNS FC vs Kelantan

Pada musim lalu, cabaran kedua-dua pasukan di saingan Piala FA ditamatkan seawal pusingan kedua.

PKNS FC ketika itu masih dibimbing oleh E. Elavarasan, disekat oleh Melaka United 1-0. Manakala Kelantan yang bergelut dengan pelbagai isu di luar padang tewas melalui penentuan sepakan penalti oleh PKNP FC.

Sukar untuk melihat kemampuan kedua-dua pasukan di saingan Piala FA setakat ini. Ini adalah kerana kedua-dua pasukan mendapat laluan mudah pada pusingan kedua yang lalu.

Tatkala PKNS FC mudah memadamkan cabaran Hanelang FC 4-1 di Stadium Shah Alam, Kelantan menafikan semangat melawan Terengganu FC dengan kemenangan 2-0 di Kota Bharu.

Mengambil kira rekod musim lalu, kedua-dua pasukan pasti mahu melangkah lebih jauh pada musim ini.

skuad bawah 23 tahun
Kredit foto: PKNS FC

Melaka United vs Kuala Lumpur

Melaka United dan Kuala Lumpur turut mencuri tumpuan dengan perlawanan seimbang dijangkakan daripada kedua-dua pasukan.

Pada musim lalu, cabaran skuad warga kota ditamatkan oleh pasukan juara, Kedah seawal pusingan kedua.

Manakala Melaka United mara sehingga pusingan ketiga sebelum ditundukkan oleh finalis musim lalu, Pahang.

Eduardo Almeida dan Fabio Magrao pasti mempunyai perancangan tersendiri pada musim ini; terutama di dalam melakar kejutan di pertandingan ini.

Namun sebelum itu, kedua-dua jurulatih harus melakar kejayaan di dalam perlawanan ini terlebih dahulu, sebelum memikirkan lawan di peringkat suku akhir.

Siapa tahu? Salah sebuah pasukan mampu tampil sebagai ‘kuda hitam’ di dalam pertandingan Piala FA pada musim ini.

Foto: BERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

UITM FC vs JDT

Perlawanan lain yang turut mencuri tumpuan ialah perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga UITM FC.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan turut diundi di peringkat yang sama pada musim lalu.

Bezanya pada kali ini, JDT akan bertandang ke kampus induk skuad Universiti ini sebagai pasukan pelawat.

Musim lalu, JDT mudah menundukkan UITM FC 4-0. JDT yang kali terakhir bergelar juara Piala FA pada 2016, sentiasa memandang serius pertandingan ini untuk merebut slot ke pertandingan Asia.

Namun jika prestasi semasa diambilkira, cabaran UITM FC tidak harus dipandang rendah oleh gergasi bola sepak tanah air itu.

Siapa tahu? Adakah kita akan menyaksikan salah satu magis dan upset terbesar di dalam sejarah Piala FA Malaysia?

Pulau Pinang vs Perak

Dua negeri berjiran di utara tanah air ini juga menjanjikan kerancakkan berbeza di dalam pertandingan Shopee Piala FA Malaysia pada musim ini.

Perak selaku juara edisi pertama pertandingan ini pada 1990, pasti mahukan nostalgia dan kegemilangan silam kembali ke negeri tersebut.

Lima kali di aksi final, kali terakhir Perak menjulang trofi Piala FA ialah pada 2004, di bawah kendalian jurulatih daripada Brazil, Tony Netto.

Manakala Pulau Pinang juga pasti hadir dengan tujuan yang sama, setelah pernah bergelar juara pada 2002; era yang disifatkan antara yang terbaik pernah dimiliki di dalam sejarah bola sepak negeri tersebut.

Penyokong-penyokong skuad Harimau Kumbang pasti masih teringat akan gol tunggal Gustavo Romero yang memastikan Perak berputih mata dalam perlawanan penuh sejarah di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Kredit: Kosmo

PKNP FC vs Kuantan FA

Pasukan PKNP FC adalah antara pasukan yang paling banyak melakukan peningkatan pada musim lalu.

Di bawah kendalian jurulatih Abu Bakar Fadzim, PKNP FC menamatkan saingan 100Plus Liga Premier pada musim lalu di tangga ke-3; hanya satu mata dibezakan dengan Kuala Lumpur yang tampil selaku juara.

Di saingan Piala Malaysia, PKNP FC tampil menjuarai saingan Kumpulan A yang turut terdiri daripada Pahang, Negeri Sembilan dan T-Team, sebelum dinafikan kemaraan oleh Felda United di peringkat suku akhir.

Malah di saingan Piala FA pada musim lalu, PKNP FC turut berjaya mara sehingga ke suku akhir sebelum dinafikan Kedah dengan agregat 6-2.

Kuantan FA tampil di dalam pertandingan ini sebagai salah sebuah daripada dua pasukan yang masih kekal bersaing daripada Liga FAM.

Adakah kita bakal menyaksikan kejutan? Atau adakah PKNP FC terus mempamerkan kebangkitan mereka pada musim lalu dengan mara ke peringkat seterusnya?

Shahrel Fikri
Kredit foto : PKNP FC

Felda United vs UKM FC

Rekod bersih. Itulah gambaran pencapaian Felda United setakat ini apabila mencatat lima kemenangan daripada lima perlawanan melewati semua pertandingan setakat ini.

Walaupun beraksi di saingan Liga Premier pada musim ini, harus diingat skuad B. Sathianathan mempunyai kualiti seperti pasukan Liga Super yang lain, setelah didenda kerana gagal melengkapkan proses perlesenan pada musim lalu.

Bagi UKM FC, ini adalah medan untuk menguji kemampuan mereka beraksi di aras tertinggi di arena bola sepak negara.

Musim lalu, UKM FC tewas tipis kepada Sabah di pusingan kedua. Ini bermakna kemaraan ke pusingan ketiga menunjukkan sedikit peningkatan berbanding pencapaian pada musim lalu.

Rumusan

Siapakah pasukan pilihan anda untuk mara ke peringkat suku akhir Shopee Piala FA Malaysia 2018? Mampukah Kedah mengulangi pencapaian pada musim lalu?

Atau adakah JDT akan tampil kembali sebagai juara setelah kali terakhir melakukannya pada 2016?

Atau adakah Selangor yang merupakan pasukan dengan koleksi kejuaaraan Piala FA terbanyak akan tampil bangkit setelah kali terakhir bergelar juara pada 2009?

Berikan pendapat anda dengan berhemah. Kami mahukan pandangan anda.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN