Pemain tengah Brighton & Hove Albion, Steve Sidwell menyelar pasukan Arsenal dan menyifatkan skuad tersebut bermain tanpa karakter, tidak mempunyai semangat juang dan juga tidak bersemangat dalam menyarung jersi pasukan.
Perkara itu dinyatakan pemain berusia 35 tahun itu selepas Arsenal tumpas buat kali keempat berturut-turut yang juga rentetan kekalahan yang ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Arsenal tewas 2-1 ditangan Brighton pada perlawanan liga yang berlangsung di Stadium Amex.
Steve Sidwell, lepasan produk akademi Arsenal mengulas mengenai perkara tersebut dengan berkata:
”Ianya adalah apa yang diperkatakan semua orang ketika ini, mereka tidak mempunyai karakter, tidak mempunyai semangat juang, tiada keinginan serta tiada semangat untuk menyarung jersi Arsenal dan ianya dibuktikan semalam (perlawanan bertemu Brighton).”
”Sebelum perlawanan bermula, saya melihat mereka di dalam terowong dan melihatkan dari bahasa tubuh, mereka bukanlah sebuah pasukan yang bersedia untuk beraksi dan memberikan segalanya.”
”Kami (Brighton) tahu dari luar, jika kami bermula dengan baik pada perlawanan ini, kami akan mempunyai peluang,” jelas Sidwell.
Pada perlawanan tersebut, Brighton mengejutkan Arsenal dengan dua jaringan awal pada minit ke-7 dan 26 menerusi Lewis Dunk dan Glenn Murray.
Pierre-Emerick Aubameyang berjaya merapatkan kedudukan dua minit sebelum babak pertama berakhir.
Namun, keputusan jaringan tersebut kekal hingga tamat perlawanan untuk kekalahan keempat berturut-turut buat skuad bimbingan Arsene Wenger.