Tidak ramai yang tahu apa sebenarnya yang dialami oleh pemain bolasepak professional ketika pra-musim. Pemain Norwich City, Nathan Redmond berkongsi tentang 10 perkara yang biasa dihadapi oleh pemain professional.
1. Latihan sehingga 3 kali sehari
Pemain akan bermula dengan memanaskan badan sebelum beralih ke latihan teknikal di padang kecil atau penguasaan bola di padang besar. Kemudian mereka akan melakukan sesi larian pecut (sprints) dan larian ulang-alik (shuttle runs).
Semua latihan ini hanyalah sesi pagi. Selepas makan tengah hari, pemain akan kembali ke padang untuk melakukan sesi larian pula. Kadang kala, pemain melakukan 3 latihan dalam masa sehari. Ia meliputi sesi larian, sesi di gimnasium dan sesi bermain bola sepak.
2. Kesakitan seluruh badan pada keesokan hari
Selepas sesi latihan yang berat, pemain akan melakukan mandian ais atau mendapatkan urutan untuk mempercepatkan pemulihan kecergasan. Tetapi kesakitannya tidak akan datang sehinggalah pada keesokan harinya.
Apabila pulang ke rumah selepas latihan, kebiasaannya mereka akan terus berehat dan tidur. Tetapi apabila mereka bangun tidur, ketika itulah DOMS (delayed onset muscle soreness) akan menjelma. Ketika itu satu badan mereka rasa sakit.
3. Terlalu penat untuk bergurau
Pada sesi-sesi awal pra-musim, pemain terlalu penat sehinggakan mereka tidak mampu untuk bergurau dengan rakan sepasukan lain. Namun selepas sesi larian dan kerja keras sudah berakhir, mereka akan kembali normal.
4. Makan telur separuh masak setiap hari
Pada waktu pagi sesi latihan, pemain akan mengambil protein shake untuk membantu badan cepat pulih daripada sesi latihan semalam. Apabila mereka sampai ke kompleks latihan pasukan, mereka akan makan 2 biji telur separuh masak dan ikan salmon.
Ketika di tengah-tengah latihan, mereka akan minum minuman tenaga dan makan protein bar.
5. Tidak suka menjalani beep test
Beep test – sesi larian pecut sejauh 20m yang sentiasa meningkat intensitinya – adalah ujian yang paling tidak digemari oleh pemain. Tiada siapa yang sukakan beep test dan ia adalah bahagian paling tidak digemari oleh pemain ketika latihan pra-musim.
6. Sesi larian ‘four fours’ meningkatkan kecergasan dengan cepat
Permainan bola sepak moden menekankan aspek larian jarak dekat dan pantas. Inilah yang ditekankan dalam sesi latihan ‘four fours’ – sesi latihan di mana pemain berlari pada intensiti yang tinggi selama 4 minit sebelum berehat selama 4 minit.
7. Berehat dengan bermain sukan lain
Pemain akan bermain sukan lain untuk mengurangkan tekanan antara sesi latihan. Kebiasaannya mereka bermain dart dan ping pong. Sukan ini tidak memerlukan tenaga yang banyak dan membantu mereka menghabiskan masa antara sesi latihan.
8. Perlawanan persahabatan adalah cara terbaik untuk cergas
Minggu pertama dan kedua pra-musim biasanya hanyalah melibatkan sesi larian dan sedikit latihan teknikal. Kemudian, mereka akan cuba mendapatkan 45 minit masa bermain dalam perlawanan persahabatan yang diadakan dua kali seminggu.
9. Setiap pemain ada latihan individu yang khas
Latihan setiap pemain akan direka dan disusun oleh pasukan sains sukan mengikut keperluan fisiologi mereka ketika bermain di padang.
Jika dulu pemain sayap yang kecil mudah ditumbangkan oleh pertahanan yang berbadan besar, kini – terima kasih kepada kemajuan sains sukan – pemain sayap dapat mengfokuskan latihan mereka untuk menguatkan upper body dan kaki. Hasilnya mereka tidak akan mudah dibuli pemain pertahanan.
10. Cuti pemain bolasepak tidak panjang
Masa cuti pemain bola sepak tidak panjang terutamanya bagi pemain yang perlu mewakili negara pada musim panas (Piala Dunia, Copa America, Euro Championship, Euro Under-21 dan sebagainya). Musim cuti yang beberapa minggu ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Ketika inilah mereka dibenarkan untuk buat apa yang mereka mahu, makan apa yang mereka mahu dan bercuti bersama keluarga. Kemudian mereka perlu fokus dan sediakan diri secepat mungkin sebelum musim baru bermula.
Baca juga: 5 KERJAYA IMPIAN PEMINAT BOLA SEPAK YANG BOLEH ANDA CUBA