Piala Dunia 2018 cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Pelbagai pihak telah membuat persiapan begitu rapi untuk kejohanan sukan berprestij ini.
Termasuklah sekali EA Sports, sebuah syarikat permainan video yang memegang lesen mengeluarkan permainan video siri FIFA.
Namun, ada berita yang barangkali akan membuat peminat permainan video ini dalam dilema. Sama ada bersetuju atau tidak, terserah kepada anda.
Pada September tahun lalu, salah seorang penyumbang suara (commentator) dalam permainan FIFA dengan tidak sengaja mendedahkan bulan berapakah permainan itu keluar.
Penyumbang suara itu bernama Manolo Lama memberitahu perkara itu semasa sesi wawancara di sebuah stesen radio berbahasa Sepanyol. Manolo merupakan penyumbang suara untuk bahasa Sepanyol.
Manolo memberitahu bahawa beliau merakamkan audio itu pada Disember. Permainan pula akan dijangka keluar pada Februari atau Mac. Tetapi semasa artikel ini ditulis, Mac sudah menjengah!
Tetapi, pegawai EA Sports yang turut berada di konti dilihat tidak senang dengan keterlanjuran Manolo!
Expansion Pack?
Ada kemungkinan bahawa ‘expansion pack’ bakal diperkenalkan untuk permainan video FIFA18. Ini bermakna pengguna FIFA18 terpaksa memuat turun permainan ini melalui internet.
Dikhabarkan konsol yang terlibat ialah Playstation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan Microsoft. Pengguna konsol Playstation 3 dan Xbox 360, tidak ada pengesahan rasmi adakah ‘expansion pack’ ini akan ada edisi untuk konsol tersebut.
Dalam kata lain, EA Sports sudah hampir tidak akan keluarkan permainan video khas untuk kejohanan ini!
Ultimate Team
EA Sports dipercayai akan mengekalkan Ultimate Team seperti FIFA18. Cuma akan ada ciri tambahan yakni pemain yang negaranya layak ke Piala Dunia 2018 akan ditambah.
Selain itu, stadium yang bakal digunakan pada kejohanan di Rusia itu akan ditambah. Sudah pasti ia mendatangkan keterujaan ramai peminat permainan video ini.
Ulasan
Sekiranya EA Sports benar-benar mewujudkan ‘expansion pack’, ia bakal mengulangi kesilapan EURO 2012. Banyak pihak telah memberikan respon negatif kepada mereka dek tindakan tersebut.
Anda masih ingat lagi bagaimana mereka memperkenalkan EURO 2012 sebagai ‘expansion pack’ kepada FIFA12? Penulis sendiri bermain pun rasa tidak terlalu seronok dan teruja.
EA Sports perlu serius agar mereka tidak menerima padah. Bukan apa, bagi sesetengah orang, permainan video ini seolah bahan wajib yang mesti ada menjelang Piala Dunia.
Bagi anda semua, permainan video Piala Dunia manakah yang terbaik bagi anda yang pernah dikeluarkan oleh EA Sports? Penulis secara peribadinya memilih Piala Dunia 2010 meskipun 2014 lebih banyak pasukan.
Apakah ciri-ciri permainan video Piala Dunia 2018 yang anda mahu? Nyatakan pandangan anda di ruangan komen!