Istilah ‘feeder club’ ataupun ‘development club’ sering kali menimbulkan kekeliruan di kalangan peminat bola sepak di Malaysia.
Tambah menimbulkan kekeliruan peminat bola sepak tempatan adalah apabila JDT – salah satu daripada 2 kelab yang mempunyai feeder club selain Terengganu FC – tidak mengikuti peraturan feeder club seperti yang diumumkan oleh FMLLP pada tahun 2017.
Peraturan 'feeder team'. Adakah JDT boleh memenuhi setiap peraturan yg ditetapkan FMLLP? pic.twitter.com/vs6McjGX8e
— bert (@modsya) February 1, 2018
Menurut peraturan feeder club yang diumumkan oleh FMLLP pada tahun 2017, JDT perlu menurunkan sekurang-kurangnya 4 pemain bawah 23 tahun dalam kesebelasan utama mereka pada setiap perlawanan.
Bagaimanapun berdasarkan barisan kesebelasan utama yang diturunkan oleh JDT dalam 4 perlawanan unifi Liga Super 2018 baru-baru ini, peraturan ini tidak dipatuhi.
Peminat bola sepak tempatan menjadi bertambah keliru apabila Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards menyatakan beberapa pemain JDT II akan diserap masuk ke skuad JDT berikutan pemergian pra-matang Jorge Pereyra Diaz.
Ini membuktikan JDT masih menggunakan kelebihan sistem feeder club. Tetapi mengapa merka tidak menurunkan 4 pemain bawah-23 pada musim ini? Adakah JDT telah melanggar peraturan feeder club? Jika ya, mengapa tiada tindakan diambil oleh FMLLP?
Adakah ada perubahan baru terhadap peraturan feeder club pada musim 2018? Jika ya, mengapa FMLLP tidak menwar-warkan perubahan ini kepada media?
Persoalan ini terus menjadi spekulasi peminat bola sepak tempatan sehinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Football Malaysia LLP, Kevin Ramalinggam menjelaskan kekeliruan ini petang tadi.
Temubual bersama Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam tentang ‘Feeder Club’.
#FootballMalaysia
#TransformingMalaysianFootballPosted by Football Malaysia LLP on Wednesday, February 28, 2018
Dalam video tersebut, Kevin tampil menjelaskan kekeliruan yang membabitkan perpindahan pemain daripada ‘feeder club’ kepada skuad utama.
Perbezaan ‘feeder’ dan ‘development’
Pertamanya Kevin menjelaskan bahawa istilah ‘feeder club’ hanyalah terma yang digunakan untuk pasukan simpanan. Sama ada ia digelar ‘feeder club’ atau ‘development club’, ia tidak membawa sebarang perbezaan.
“Pertama kali saya ingin nyatakan bahawa perkataan yang digunakan ialah perkataan yang bertukar-tukar digunakan di tempat lain.”
“Tidak semestinya ia adalah feeder, development atau reserve, prinsipnya ialah untuk memberikan sokongan kepada pasukan utama.” ujar Kevin dalam video tersebut.
Perubahan peraturan 2018
Kevin turut menjelaskan ada perubahan dari segi peraturan feeder club antara tahun 2017 dengan 2018.
Pada tahun 2017, FMLLP hanya membenarkan perpindahan 4 pemain (1 pemain import dan 3 pemain tempatan tanpa had umur) di luar jendela perpindahan pemain.
Namun bagi 2018, tiada had jumlah perpindahan ditetapkan bagi pertukaran pemain tempatan (di antara pasukan utama dan pasukan feeder) asalkan umur pemain tempatan itu adalah 27 tahun ke bawah, ketika di luar jendela perpindahan.
Bagi perpindahan pemain import pula, bermula 2018 FMLLP membenarkan perpindahan 2 pemain sahaja ketika di luar jendela perpindahan. Tiada syarat had umur dikenakan kepada perpindahan pemain import kerana ia bukan kumpulan sasar pemain yang mahu dibangunkan oleh pasukan di Liga Malaysia.
Kronologi pertukaran peraturan
Kevin turut menjelaskan lawatan ke ibu pejabat La Liga pada Oktober lalu ialah titik tolak perubahan peraturan feeder club di Liga Malaysia pada musim 2018.
Hasil lawatan berkenaan, satu laporan telah diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah FMLLP yang disertai oleh wakil-wakil kelab dan pasukan yang bertanding di Liga Malaysia.
Tiga wakil pasukan Liga Malaysia yang menganggotai Ahli Lembaga Pengarah FMLLP telah dipilih sendiri oleh pasukan-pasukan bertanding.
Oleh itu, Kevin berkata setiap pasukan yang bertanding di Liga Malaysia sudah mengetahui mengenai perubahan peraturan yang dilaksanakan oleh Ahli Lembaga Pengarah tersebut.
Secara kronologi, laporan perubahan tersebut telah dibentangkan pada 23 November 2017 sebelum surat maklumat diedarkan kepada setiap pasukan yang bertanding pada 8 Disember 2017.
Sebagai tindakan susulan, pada 29 Disember yang lalu, FMLLP turut membawa topik ‘feeder club’ di dalam sesi taklimat Liga Malaysia 2018 yang dihadiri oleh semua wakil-wakil pasukan.
Topik ‘feeder club’ dibawa untuk membincangkan serta menjelaskan perubahan peraturan-peraturan berkaitan feeder club yang telah dilakukan, dan ia tidak mendapat bantahan oleh mana-mana wakil yang hadir.
Peraturan feeder club ini harus diterima sebagai sesuatu yang boleh membantu semua pasukan yang ingin mengasaskan pasukan berasaskan feeder club sepertimana yang dilakukan oleh JDT dan Terennganu, tertakluk kepada kelulusan oleh FMLLP.
Jika FMLLP menetapkan pemain tempatan harus berumur bawah 27 tahun untuk dipindahkan menerusi peraturan ini, bagaimana Aidil Zafuan yang berusia 30 tahun boleh diturunkan oleh JDT II?
Susulan penerbitan video penerangan Kevin di laman Facebook FMLLP hari ini, satu persoalan yang pastinya bakal dibangkitkan oleh peminat bola sepak tempatana adalah:
Bagaimana Aidil Zafuan diturunkan di dalam pasukan JDT II dalam perlawanan menentang UiTM FC pada 7 Februari lepas? Sedangkan FMLLP menetapkan pemain tempatan harus berumur bawah 27 tahun untuk dipindahkan menerusi peraturan ini.
Jawapan:
Secara teknikalnya, JDT tidak bersalah. Ini kerana Aidil Zafuan beraksi dalam perlawanan JDT II menentang UiTM FC yang berlangsung pada tarikh 7 Februari 2018 – ketika jendela perpindahan pemain masih dibuka.
Peraturan feeder club FMLLP pada 2018 menetapkan Aidil yang berusia 30 tahun, tidak boleh diturunkan oleh JDT II DI LUAR JENDELA PERPINDAHAN PEMAIN yang tutup pada 11 Februari 2018, jam 11.59 malam.
Ini menjelaskan sebab mengapa nama Aidil tidak tersenarai dalam skuad JDT II ketika menentang Felda United dan UKM FC – iaitu selepas jendela perpindahan pemain ditutup.
Perubahan peraturan mengelirukan peminat
Satu perkara yang pasti, kami berpendapat perubahan peraturan feeder club pada musim 2018 ini sepatutnya dimaklumkan oleh FMLLP kepada umum sebelum kempen liga Malaysia bermula lagi – bukannya ketika liga sudah berlangsung.
Tambah buruk buat FMLLP, pengumuman pindaan peraturan ini tiba pada masa buruk – iaitu ketika Jorge Pereyra Diaz baru sahaja meninggalkan JDT secara pra-matang. Ini menyebabkan FMLLP nampak seolah-olah membuat pindaan peraturan ini untuk kelebihan sesebuah pasukan – sedangkan pindaan ini sudah dipersetujui oleh semua pasukan sejak Disember 2017 lagi.
Dalam dunia media sosial yang mudah meletup ketika ini, FMLLP sepatutnya menangani persepsi peminat bola sepak tempatan dengan lebih baik.
Bayangkan berapa banyak masalah mereka boleh elak jika mereka menjemput pihak media ke sesi Taklimat Liga Malaysia 2018 yang berlangsung Disember 2017 lepas untuk memaklumkan perubahan-perubahan peraturan ini.