Badan penganjur Divisyen 1 dan 2 bola sepak Sepanyol, La Liga akan menganjurkan pertandingan e-sukan pertama mereka.
Pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen ‘Ini bukan bola sepak, ini ialah kempen La Liga’ yang dilancarkan oleh badan penganjur bola sepak domestik di Sepanyol itu.
Bidang e-sukan anjuran La Liga dilihat sebagai platform utama oleh organisasi berkenaan untuk menarik minat golongan millenia di Sepanyol.
Projek berkenaan turut akan menampilkan pembinaan permainan video baharu yang akan dilancarkan pada masa hadapan.
Fasa pertama projek e-sukan oleh La Liga akan dilaksanakan di peringkat kebangsaan melibatkan penyertaan dari seluruh wilayah di Sepanyol.
Penganjuran pertandingan ini kemudiannya akan dikembangkan ke peringkat jemputan antarabangsa sepertimana yang telah dilakukan oleh Bundesliga baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, La Liga turut berkata projek berkenaan akan disokong oleh beberapa penaja sedia ada yang tampil menunjukkan minat melabur di dalam bidang e-sukan di negara itu.
Projek tersebut dipercayai akan mendapat sambutan daripada kumpulan peminat bola sepak yang cenderung menggunakan teknologi dan gajet.
Tujuan utama memperkenalkan e-sukan di La Liga ialah untuk menyemai semangat kerja keras, saingan kompetitif dan juga gerak kerja berpasukan di kalangan peserta.
Ia adalah nilai yang berkait rapat dengan bola sepak dan juga e-sukan.
Sebelum ini La Liga telah bekerjasama dengan syarikat permainan video terkemuka, EA Sports untuk membina permainan video mereka sendiri.
Malah La Liga turut mempunyai permainan mereka sendiri, dikenali sebagai Head Soccer, La Liga Fantasy Marca dan juga Head Soccer Heroes.
Sebelum ini, Nur Amirul Afandi (AmTuah), 23 muncul juara dalam kejohanan FIFA 18 Virtuelle Bundesliga Asia Tenggara yang berlangsung di Battle Arena, Petaling Jaya.
Kemenangan tersebut sekaligus menjadikan AmTuah sebagai wakil pertama negara dan juga rantau Asia Tenggara untuk berentap menentang pemain FIFA 18 terbaik dari seluruh dunia di Jerman pada Mac depan.
Siapa tahu, selepas ini negara turut akan mempunyai wakil yang bertanding untuk kejohanan e-sukan anjuran La Liga.