Ketiadaan tonggak import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz jelas dirasai apabila kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak bergelut dalam mencari jaringan gol yang menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada kelab Vietnam, Song Lam Nge An pada saingan Piala AFC kumpulan H semalam.
JDT mengambil keputusan untuk melepaskan Diaz kerana pemain tersebut meninggalkan hotel penginapan pasukan di Singapura, sebelum penerbangan ke Vietnam untuk perlawanan itu.
Walaubagaimanapun, pengarah teknikal JDT, Alistairs Edward memaklumkan JDT tidak akan berputus asa dan akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk pasukan itu.
“Walaupun sudah lewat malam, kami tidak akan pernah berhenti bekerja. Saya ingin memaklumkan kepada penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu kami menghadapi sedikit masalah dengan pasukan dan kami akan memperbaikinya.
“Pasukan JDT akan kembali esok dan kami akan mengadakan satu mesyuarat. Kami rasa kami sudah mengetahui strategi bagaimana untuk memperbaikinya dan memantapkan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman facebook JOHOR Southern Tigers.
Alistair juga memberi bayangan bahawa JDT akan melakukan pertukaran pemain dengan pasukan ‘feeder club’ mereka iaitu JDT II dalam memantapkan barisan pemain bagi menghadapi perlawanan yang seterusnya.
“Kami juga ingin memaklumkan bahawa kami akan membuat sedikit pertukaran berkaitan dengan pemain dan selepas itu kami akan melakukan pertukaran yang lebih besar pada bulan Jun, serta satu lagi pertukaran pada bulan Disember nanti.
“Kelab telah menyediakan bajet dan buat masa sekarang ini kami akan menggunakan pasukan yang kami ada dan cuba menggunakan beberapa pemain luar negara yang berada di JDT II untuk membantu kami.
“Itulah yang sedang kami lakukan sekarang. Kami tidak akan berputus asa dan kami masih yakin dengan misi-misi kami. Kami akan terus berjuang sepanjang masa,” katanya.
Selepas ini JDT dijadualkan menentang Sabah dalam pusingan kedua Piala FA pada hari Sabtu ini. Mereka kemudian akan menentang pasukan Terengganu FC pada 10 Mac ini untuk saingan Liga Super.