Penyerang utama Tottenham Hotspur dan England, Harry Kane telah memecahkan beberapa rekod jaringan pada musim ini. Beliau juga sudah mencapai tahap prestasi yang sangat baik sebagai seorang penyerang.
Tetapi bagi bekas pengurus Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas menyifatkan penyerang berbisa ini perlu untuk keluar daripada London dan berhijrah bagi terus meningkatkan kualitinya.
”Harry Kane perlu meninggalkan Tottenham jika dia mahu mendapatkan piala dan terus menjadi terkenal,” kata Villas-Boas.
Pemain berusia 24 tahun itu kini meletakkan dirinya sebagai seorang penyerang yang ditakuti dalam kancah bola sepak dunia apabila membina reputasi yang hebat selepas beliau meninggalkan Akademi Spurs dan mendapat peluang beraksi dalam skuad senior.
Sebelum mencapai kemasyhuran yang dikecapi ketika ini, Kane telah dipinjamkan ke beberapa pasukan sebelum menjadi sandaran utama buat kelab London tersebut.
Andre Villas-Boas juga turut bertindak meminjamkan Harry Kane ke Norwich City dan Leicester City ketika pengendali dari Portugal itu menjadi pengurus Tottenham Hotspur pada musim 2012/13.
Pengurus berusia 40 tahun itu berkata di Anugerah Sukan Laureus: ”Ia bergantung kepada Harry (Kane) dan cita-citanya bagi masa depan dan bagaimana dia melihat kerjayanya untuk lebih maju.”
”Sekiranya dia ‘laparkan’ kejayaan memenangi piala dan ingin menjadi lebih terkenal, dia perlu meninggalkan Spurs. Jika dia tidak memikirkan mengenai itu dan mahukan pengiktirafan serta mengekalkan kestabilan, dia akan terus beraksi bersama Spurs.”
”Kabinet trofi kelab ini masih tidak diisi oleh kelab yang hebat ini. Itu adalah apa yang pemain bola sepak kejar dan idamkan, kejayaan dan memenanginya.”
Harry Kane pernah memberitahu kepada media di Jerman bahawa beliau hanya mahu beraksi sehingga tamat karier bersama Tottenham Hotspur.
Sejak kebelakangan ini, nama Kane sering dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid yang dikatakan sangat berminat untuk membawa beliau beraksi di Santiago Bernabeu.
Dengan usia yang baru memasuki 24 tahun, perjalanan karier Kane masih jauh dan tidak mustahil juga beliau akan berpindah ke pasukan lain satu hari nanti.