Bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo kini sedang menikmati segala yang diinginkannya dalam karier bola sepak, tetapi beliau sudah pastinya mahu terus cemerlang menyumbang sesuatu buat pasukan.
Ronaldo berkata beliau telah mencapai hampir semua impiannya dalam sukan nombor satu dunia ini tetapi masih mahu memenangi tiga lagi Ballon d’Or sebelum bersara dalam arena bola sepak.
Pemain berusia 33 tahun itu telah terpilih sebagai pemain terbaik dunia pada tahun 2017 sekaligus menyamai pencapaian lima kali yang diraih musuh tradisinya dari Barcelona, Lionel Messi.
Ronaldo telah memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan Kelab Piala Dunia, serta meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan La Liga sepanjang karier hebatnya bersama Manchester United dan Real Madrid.
Sementara itu, Ronaldo juga beranggapan akan gembira sekiranya dapat bersara pada ketika ini namun, beliau percaya masih mampu untuk mencipta beberapa kejayaan lagi sebelum sampai masa buatnya untuk menggantung kasut bolanya.
”Sekiranya saya menamatkan karier ketika ini, saya sudah pasti akan sangat gembira tetapi jika saya dapat memenangi dua atau tiga lagi gelaran Ballon d’Or, saya akan lebih gembira dalam kehidupan.”
”Dan seandainya saya tidak memenanginya pun, saya sudah memenanginya sebanyak lima kali tetapi saya masih mempunyai keyakinan dan kekuatan untuk bersaing merebut gelaran tersebut. Ianya bergantung kepada kejuaraan yang akan kami menangi musim ini.”
Selepas berjaya membantu Portugal menjuarai Kejohanan Eropah 2016, Ronaldo sudah pasti akan menjadi sandaran utama bagi menghadapi Piala Dunia 2018.
Beliau mengulas mengenai peluang Portugal di Russia pada Jun nanti.
”Kami bukanlah pasukan pilihan, kami perlu mengakui perkara ini,” jelas beliau.
”Pasukan seperti Brazil, Sepanyol, Jerman dan Argentina lebih menjadi pilihan tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.”
”Kami akan mencuba untuk melepasi peringkat kumpulan, kemudiannya kita akan lihat. Objektif utama adalah untuk melepasi fasa pertama.”