Pemain sayap PKNS FC kelahiran Singapura, Faris Ramli memuji prestasi pasukannya yang masih belum mencatat sebarang kekalahan selepas 3 perlawanan Liga Super musim ini.
PKNS FC kini menduduki tangga taratas Liga Super apabila mengumpulkan 7 mata selepas seri 2-2 dengan Terengganu FC dan menewaskan Pahang dan Perak dengan jaringan 1-0 dan 2-0.
Faris yang sebelum ini bermain untuk pasukan Home United dalam saingan Liga Singapura dengan 30 penampilan menyifatkan saingan Liga Super musim ini cukup sengit dan semua pasukan mampu membuat kejutan.
Mereka mahu meneruskan rentak cemerlang itu apabila dijadualkan bertemu Kedah di tempat lawan pada 25 Februari ini.
“Permulaan yang baik bagi kami tetapi ianya masih terlalu awal kerana semua pasukan hanya dipisahkan dengan 1 hingga 3 mata sahaja,” katanya seperti dipetik daripada laman FOX Sports Asia.
“Kami tidak mahu meraikannya seperti sudah menjuarai Liga kerana kami sedar musim ini sangat sukar dan sengit. Prestasi semua pasukan semakin meningkat dan mampu menewaskan kami pada bila-bila masa,” katanya.
Faris yang beraksi di luar Singapura untuk kali pertama dalam karier bola sepaknya memberi kredit kepada jurulatih pasukannya, Datuk K Rajagobal dan kapten pasukan itu, Safee Sali yang sentiasa memberikan motivasi kepadanya dan rakan sepasukan.
“Perlawanan selepas ini di tempat lawan menentang Kedah akan menjadi cabaran yang sukar dan jurulatih Rajagobal berusaha mencari idea untuk meletakkan kombinasi barisan pemain yang mantap.
“Jurulatih telah membentuk skuad yang seimbang dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman. Namun begitu, tidak semua pemain dijaminkan tempat dalam kesebelasan utama dan kami perlu tunjukkan prestasi terbaik dalam sesi latihan.
“Di atas padang, Safee ialah seorang kapten dan beliau tunjukkan kepada kami bagaimana untuk menyerang dan mengejar pemain lawan setiap kali kami terlepas bola. Beliau mengingatkan saya kepada Wayne Rooney,” katanya.
PKNS FC akan berhadapan dengan pasukan Kedah yang diperkuatkan oleh Andik Vermansyah dan Baddrol Bakhtiar tetapi Faris menyifatkan penyerang import PKNS dari Brazil, Rafael Ramazotti akan menjadi penentu kepada keputusan perlawanan.
Bekas pemain DPMM Brunei itu telah menjaringkan 55 gol dalam 71 perlawanan Liga Singapura selama 3 musim da menjaringkan 3 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.
“Rafa (Rafael Ramazotti) kini berada di tahap terbaik dan beliau telah melengkapkan kekuatan pasukan. Dia boleh bermain sebagai ‘target man’ dan mampu berhubung dengan jentera tengah.
“Kombinasi Safee, Mahali, Rafa dan saya sendiri dalam perlawanan menentang Perak telah menunjukkan potensi sebenar jentera serangan kami.
“Jika beliau terus menjadi sasaran barisan pertahanan pihak lawan, ianya membuka peluang kepada saya untuk melarikan bola dan membuat hantaran tepat,” jelasnya.
Bukan setakat Ramazotti, malah PKNS turut diperkuatkan oleh bekas pemain pertahanan kelab A-League, Zac Anderson.
“Zac mengetuai barisan pertahanan dengan baik dan dia juga sentiasa memastikan pasukan tidak bolos dengan begitu mudah.
“Anda boleh katakan kami ibarat mempunyai menara berkembar dalam skuad PKNS dengan Zac di bahagian pertahanan manakala Rafa di bahagian serangan. Saya menikmati permandangan dari tengah-tengah 2 menara itu dan melakukan magic dari situ,” jelasnya.
PKNS FC menamatkan saingan Liga Super di tangga ke 7 musim lepas dan menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.