Chelsea dan Barcelona terpaksa berpuas hati dengan keputusan terikat 1-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah dalam aksi yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Chelsea kelihatan lebih berbahaya pada babak pertama selepas dua percubaan daripada pemain antarabangsa Brazil, Willian dari luar kotak penalti hanya singgah di tiang gol Barcelona yang dikawal Marc-Andre ter Stegen.
Barcelona juga beberapa kali mengasak ke kubu tuan rumah, namun usaha pada babak pertama oleh skuad bimbingan Ernesto Valverde itu masih belum cukup untuk merobek gawang Chelsea.
Thibaut Courtois bertindak cemerlang pada minit ke-55 setelah penjaga gol Belgium itu menafikan percubaan dilancarkan Luis Suarez yang berjaya melepasi kawalan dari Victor Moses dan Cesar Azpilicueta.
Setelah dua kali percubaannya digagalkan oleh tiang gol, usaha Willian akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan rendah dari luar kotak penalti berjaya disempurnakan pada minit ke-62 untuk jaringan pendahuluan perlawanan sekaligus menggamatkan Stamford Bridge buat seketika.
Chelsea harus menyalahkan diri sendiri akibat kealpaan barisan pertahanan yang melakukan kesilapan hantaran di hadapan pintu gol sendiri.
Hantaran yang dilakukan Andreas Christensen berjaya disambar Andres Iniesta lalu pemain tengah itu melorongkan bola buat Lionel Messi bagi meledakkan jaringan penyamaan buat Barcelona pada minit ke-75.
Jaringan daripada bintang Argentina ini adalah yang pertama dalam sembilan penampilan terakhir Messi ketika menentang Chelsea.
Kedudukan 1-1 tersebut kekal hingga tamat permainan dan perlawanan kedua akan berlangsung di Nou Camp pada 15 Mac nanti.
https://www.youtube.com/watch?v=qCRhteWhEtQ