Pasukan Pahang masih bernafsu memburu kemenangan kedua dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 setelah menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Darul Makmur minggu lepas.
Tempoh rehat selama hampir 2 minggu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad bimbingan Dollah Salleh untuk mengekalkan tahap kecergasan dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang UiTM FC dimana ia berakhir dengan keputusan 3-3.
Mereka dijadualkan menentang Selangor pada 24 Februari ini dalam perlawanan keempat saingan Liga Super musim ini.
Pemain pertahanan Pahang, Faisal Rosli mahu rakan sepasukannya mengekalkan rentak cemerlang seperti ketika menewaskan pasukan Kelantan.
“Saya percaya kemenangan ke atas Kelantan mampu meletakkan kami semula di landasan untuk mencabar kejuaraan musim ini.
“Namun, kami tidak boleh terlepas mata lagi kerana ia akan menjejaskan peluang pasukan untuk berada di persada liga kerana jurang mata akan terlalu jauh,” katanya kepada Berita Harian.
Faisal bagaimanapun enggan memandang mudah pada cabaran pasukan Selangor dan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan misi bawa pulang 3 mata tercapai.
“Kami akan melakukan yang terbaik terutama untuk membawa pulang tiga mata biarpun lawan seperti harimau yang terluka selepas dibelasah Terengganu,” katanya.
Sementara itu, penyerang import Pahang yang baru dibawa masuk pada saat akhir jendela perpindahan pertama Liga Malaysia iaitu Francis Forkey Doe tidak sabar turun ke padang untuk menewaskan bekas pasukannya musim lepas.
“Sudah pasti satu gol yang dijaringkan ketika menewaskan Kelantan memberi keyakinan kepada saya. Malah, saya pasti gembira sekiranya dapat terus merobek gawang lawan termasuk Selangor Sabtu ini,” katanya
Penyerang dari Liberia yang berusia 33 tahun itu pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super pada musim 2012.
Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia dan pernah beraksi dengan pasukan Terengganu, Felda United dan Kelantan.
“Mungkin ramai yang meragui kemampuan saya, apatah lagi dengan faktor usia saya.
“Namun, saya tekad membuktikan tanggapan itu salah sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan PBNP dan Dollah.
“Saya bukan sahaja berharap dapat membantu Pahang menjulang sekurang-kurangnya satu trofi tetapi juga muncul penjaring terbanyak musim ini,” katanya.