Lapan jaringan terhasil pada perlawanan La Liga diantara Real Betis bertemu Real Madrid di Estadio Benito Villamarin, yang menyaksikan skuad bimbingan Zinedine Zidane itu berjaya memperoleh kemenangan 5-3 awal pagi tadi.
Separuh masa pertama
Pemain muda Real Madrid, Marco Asensio membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi tandukan susulannya yang terus menerjah jaring.
Gol tersebut terhasil apabila rembatan yang dilakukan Cristiano Ronaldo ditepis penjaga gol Real Betis, Antonio Adan tetapi Asensio berada di keadaan yang tepat untuk melakukan tandukan.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Real Betis memperkemaskan aksi dengan melancarkan beberapa siri serangan ke arah pintu gol Real Madrid yang dikawal Keylor Navas.
Usaha berterusan tuan rumah membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Aissa Mandi kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-33.
Mandi yang mendapat hantaran lintang dari Joaquin berjaya menanduk masuk bola bagi menceriakan penyokong mereka.
Real Betis terus memberikan tekanan kepada Madrid dengan menghasilkan jaringan kedua berselang empat minit kemudian.
Mereka perlu berterima kasih kepada Nacho Fernandez yang tertampan bola ke gawang sendiri selepas percubaan pertama dari Junior Firpo berjaya dihalang Navas.
Separuh masa kedua
Sergio Ramos berjaya menyamakan kedudukan menjadi 2-2, lima minit selepas perlawanan bersambung selepas beliau menanduk masuk hantaran dari sepakan sudut yang diambil Lucas Vazquez.
Marco Asensio kembali meletakkan Real Madrid di hadapan dengan meledakkan jaringan ketiga sekaligus yang kedua peribadi buat pemain berusia 22 tahun ini.
Tidak cukup dengan itu Cristiano Ronaldo menambah jaringan keempat buat juara bertahan La Liga itu hasil rembatan padu yang tidak berjaya dihalang Adan untuk menafikan rembatan pemain terbaik dunia itu.
Tuan rumah masih belum mengalah apabila kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-85. Pemain gantian, Sergio Leon dengan tenang menolak masuk bola hasil hantaran lintang cantik dari Junior Firpo.
Tiga mata penuh buat Real Madrid pada perlawanan ini dinoktahkan oleh Karim Benzema yang menutup tirai ‘festival’ jaringan ini pada masa kecederaan selepas pemain antarabangsa Perancis itu mengelirukan Adan untuk jaringan kelima buat Madrid.