Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba dikatakan menyesal di atas pilihan beliau untuk menyertai Jose Mourinho dan kembali ke Old Trafford pada musim panas 2016.
Perkara tersebut dilaporkan oleh L’Equipe baru-baru ini, dengan Pogba dipetik sebagai berkata beliau berasa sedikit kesal kerana tidak mempertimbangkan Real Madrid ketika itu.
Pogba yang merupakan pemain tengah antarabangsa Perancis kembali menyertai Red Devils pada 2016 dengan bayaran rekod dunia pada ketika itu bernilai £89.3 juta dari Juventus.
Pogba meninggalkan Old Trafford pada 2012, selepas hanya tampil di dalam tiga perlawanan kompetitif bersama skuad utama United, ketika masih di era Sir Alex Ferguson.
Musim pertama Pogba bersama Mourinho tampak serba menjadi, apabila Pogba membantu United memenangi Piala EFL dan juga UEFA Europa League (UEL) pada musim lalu.
Musim ini situasi agak berbeza bagi Pogba di Old Trafford. Domonasi Manchester City di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak awal musim, dan prestasi tidak menentu pemain berusia 24 tahun ini, sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Mourinho.
Mourinho tidak menggugurkan Pogba daripada kesebelasan utama ketika menentang Huddersfield baru-baru ini.
Persembahan buruk ketika menentang Newcastle United sehingga dikeluarkan pada minit ke-66 perlawanan menambahkan lagi desas-desus keadaan tidak menentu, terutama hubungan Pogba dan Mourinho.
Kedua-dua watak tersebut turut kelihatan bertelagah ketika Manchester United tewas 2-0 di Wembley baru-baru ini, setelah Pogba dikatakan mahu peranan yang lebih untuk membantu bahagian serangan.
Taktikal Mourinho meletakkan Pogba sebagai pivot berkembar bersama-sama Matic, tidak berapa digemari oleh pemain tersebut.
Malah ketika beraksi cemerlang bersama Juventus sebelum ini, Pogba diberikan peranan bebas untuk menyerang dari bahagian tengah pasukan.
Bekas pemain tengah Manchester United, Paul Ince ketika mengulas situasi Pogba di United dan krisis bersama Mourinho berkata beliau tidak terkejut dengan situasi tersebut.
“Jika benar Pogba berkata beliau menyesal menyertai kembali Manchester United, maka saya sedikit kecewa, tetapi tidak terkejut.”
“Pogba ialah pemain tengah yang gemar melakukan gerakan. Beliau gemar melakukan serangan. Saya pasti pembelian Pogba oleh United bukan untuk menjadikan beliau seorang pemain tengah bertahan.”
“Jadi mengapa terus memaksa beliau bermain di posisi tersebut? Untuk itu, saya boleh memahami kekecewaan Pogba.”
Perlawanan seterusnya untuk Pogba, Mourinho dan Manchester United ialah kunjungan ke Stadium Kirklees untuk berhadapan dengan Huddersfield dalam saingan Piala FA Inggeris, sebelum ke Seville, Sepanyol untuk berhadapan dengan Sevilla di dalam saingan UEFA Champions League empat hari kemudian.
Tatkala semuanya tampak tidak menjadi bagi Manchester United, Mourinho pasti mahu menjauhkan krisis daripada merosakkan saki baki saingan, tatkala gelaran EPL semakin jauh dari dakapan.