Empat kelab Itali iaitu SSC Napoli, Lazio, Atalanta dan AC Milan layak untuk beraksi dalam saingan 32 pasukan terbaik di Liga Europa musim ini.
Napoli kini sedang menghuni teratas Serie A manakala Lazio ditempat ke-5 dan AC Milan dan Atalanta menduduki tangga ke-7 dan 8.
Namun, nasib berbeza diterima selepas Napoli, Atalanta dan Lazio gagal untuk mencari kemenangan apabila tewas bertemu lawan masing-masing tetapi tidak buat AC Milan yang menang selesa 3-0 di tempat lawan.
Ludogorets Razgrad (0) lawan AC Milan (3)
AC Milan yang semakin menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan empat kemenangan dalam enam perlawanan liga bertandang ke Bulgaria dengan moral terbaik untuk memperoleh kemenangan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada babak pertama untuk memburu jaringan pendahuluan. Ternyata nasib lebih menyebelahi pasukan pelawat yang dibimbing Gennaro Gattuso setelah berjaya mencipta jaringan pada minit akhir babak pertama.
Jaringan tersebut menjelma selepas hantaran lintang dari Hakan Calhanoglu berjaya ditanduk masuk oleh Patrick Cutrone bagi menewaskan Renan di gawang Ludogorets.
Ricardo Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti bagi jaringan kedua buat AC Milan pada minit ke-64 sebelum Fabio Borini menyumbang gol ketiga pada minit ke-90.
SSC Napoli (1) lawan RasenBallsport Leipzig (3)
Selepas gagal menyinar dalam Liga Juara-Juara Eropah, pendahulu Serie A yang hanya tewas sekali dalam saingan liga terus gagal memberikan prestasi serupa seperti aksi domestik apabila kecundang ditangan kelab Jerman itu.
Napoli bagaimanapun berjaya di depan pada minit ke-52 selepas Adam Ounas melakukan rembatan dari sebelah kanan pintu gol Leipzig.
Jaringan tersebut sebaliknya jelas meningkatkan semangat anak buah Ralph Hasenhuettl untuk menjaringkan tiga jaringan. Timo Werner menghasilkan dua jaringan manakala satu lagi gol menerusi Bruma.
Borussia Dortmund (3) lawan Atalanta (2)
Atalanta pula terpaksa akur dengan kehebatan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund di Signal Iduna Park.
Dua jaringan yang dihasilkan Josip Illicic masih belum cukup untuk menghalang kemenangan Dortmund yang menjaringkan tiga gol menerusi Michy Batshuayi (2 gol) dan Andre Schuerrle.
FC FCSB (1) lawan Lazio (0)
Sementara itu Lazio turut menerima nasib yang sama seperti Napoli selepas tewas 1-0 keatas wakil dari Romania itu di Arena Nationala.
Walaupun sedikit menguasai permainan, Lazio yang dibimbing Simone Inzaghi terpaksa akur dengan jaringan tunggal yang dihasilkan oleh Harlem-Eddy Gnohere pada minit ke-29 perlawanan.
Foto: Daily Mirror