Peluang Manchester City untuk melayakkan diri ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah tampak begitu cerah selepas berjaya menundukkan wakil Switzerland, FC Basel 4-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik yang berlangsung di St. Jakob Park pagi tadi.
Pemain antarabangsa Jerman, Ilkay Gundogan berjaya menghasilkan dua jaringan buat City manakala Bernardo Silva dan Sergio Aguero masing-masing menyumbang satu jaringan bagi mengesahkan kemenangan selesa tersebut.
Gondugan membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi tandukan berpunca daripada sepakan sudut yang dilakukan Kevin De Bruyne sekaligus menewaskan penjaga gol tuan rumah, Thomas Vaclik.
Empat minit berselang, Bernardo Silva menambah jaringan kedua buat skuad bimbingan Pep Guardiola itu selepas beliau yang menerima hantaran lintang dari Raheem Sterling, berjaya melakukan rembatan kaki kiri yang terus menerjah gawang FC Basel.
Tidak cukup dengan jaringan tersebut, bintang kelahiran Argentina, Sergio Aguero turut mencatatkan nama selaku penjaring gol.
Beliau meledakkan rembatan dari luar kotak penalti bagi memperdayakan Vaclik yang hanya mampu melihat bola percubaan Aguero itu membolosi gawangnya untuk gol ketiga Manchester City pada minit ke-23.
Ilkay Gundogan sekali lagi mempamerkan penyudah berkualiti yang dimilikinya apabila turut meledakkan jaringan dari luar kotak penalti pada separuh masa kedua untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 4-0 memihak buat Manchester City.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada perlawanan kedua di Stadium Etihad yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mac nanti.
Dengan bekalan empat gol di tempat lawan yang berjaya dihasilkan, Manchester City dilihat mempunyai peluang yang begitu cerah untuk mara ke pusingan seterusnya.