Perdana Menteri meminati sukan bola sepak? Ia bukan perkara baru. Tetapi ini bukan mengenai Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Razak dan pasukan kesayangan beliau, Manchester United.
Tetapi merupakan kisah rakan sejawat beliau di Sepanyol, dan juga Real Madrid.
Cakap-cakap bahawa Neymar akan menyertai Real Madrid telah bermula sejak beberapa bulan yang lalu. Sedikit sebanyak, ia adalah perkara yang mengujakan segelintir penyokong Real Madrid yang mahukan Real Madrid kembali kompetitif.
Bagi mereka yang mengikuti rapat perkembangan karier bintang Brazil itu, anda sudah pasti mengetahui bahawa Florentino Perez sudah beberapa kali cuba memancing Neymar ke Madrid, termasuk selepas perpindahan pemain itu ke Nou Camp pada 2013.
Namun demkian Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy berkata beliau lebih suka jika pasukan kegemaran beliau Real Madrid, memilih untuk tidak membawa Neymar ke Estadio Santiago Bernabeu.
Ketika bercakap kepada media menjelang pertemuan di antara Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia), Rajoy berkata beliau lebih yakin dengan gandingan sedia ada yang terdiri daripada Gareth Bale, Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo.
“Saya tidak berapa gemar akan kemungkinan Neymar menyarung jersi serba putih Los Blancos,” ujar Rajoy.
“Saya tidak pasti mengenai Kylian Mbappe. Tetapi pada pendapat saya Bale, Benzema dan Cristiano adalah gandingan yang hebat. Hanya beberapa bulan berlaku, dan kini segelintir dari kita meragui kemampuan mereka?”
“Dalam bola sepak, kita harus mempunyai perspektif yang pelbagai. Saya tetap yakin akan kemampuan pemain sedia ada di Real Madrid,” tambah Rajoy
Musim ini, Zinedine Zidane dan anak buahnya melalui prestasi yang tidak menentu. Kini mereka menduduki tangga ke-4 di La Liga, dan berada 17 mata di belakang pendahulu Barcelona.
Real Madrid turut disingkirkan oleh kelab yang lebih kerdil, Leganes di dalam pertandingan Copa del Rey.
Bagaimanapun Rajoy mengakui prestasi semasa PSG adalah jauh lebih baik, dan menyeru skuad Los Blancos untuk menyelamatkan musim ini dengan menjulang kejuaraan UEFA Champions League di penghujung musim.
“Jika mengikut logik, kita akan fikir PSG akan datang dan membelasah Madrid. Tetapi di dalam pertandingan ini, apa pun boleh berlaku.”
“Jangan lupa. Ini adalah Madrid. Champions League adalah arena mereka. Saingan di La Liga tampak tidak menjadi. Mereka turut tersingkir daripada pertandingan Copa del Rey.”
“Tetapi ini adalah skuad yang memiliki pemain yang sama pada tahun lalu. Mereka adalah pasukan yang memenangi tiga daripada empat kejuaraan Champions League sebelum ini.”
“Maka saya berpendapat, Madrid mampu menyingkirkan cabaran PSG kali ini,” ujar Perdana Menteri Sepanyol itu dengan nada penuh keyakinan.
Nampaknya golf bukan satu-satunya sukan yang menjadi tumpuan VIP seperti seorang Perdana Menteri. Apa pendapat anda? Bersetuju dengan pendapat Perdana Menteri Sepanyol ini?