Berada dalam tekanan selepas anak buahnya mempamerkan aksi longlai pada dua pertemuan Liga Perdana Inggeris sebelum ini sudah pasti memberikan tekanan buat Antonio Conte dalam menghadapi perlawanan bertemu West Bromwich Albion (WBA) pagi tadi.
Namun sorakan semangat penyokong pada perlawanan tersebut terhadap pengendali dari Itali ini memperlihatkan para penyokong Chelsea masih menaruh kepercayaan kepada beliau.
Spekulasi juga semakin kuat kedengaran bahawa Conte bakal menjadi mangsa ‘kerakusan’ pemilik pasukan, Roman Abramovich yang gemar memecat pengurus yang gagal membuatkannya gembira.
Ternyata sokongan yang diberikan penyokong Chelsea di Stamford Bridge menjadi perhatian Conte dalam sidang media selepas perlawanan.
”Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Chelsea diatas sokongan yang telah diberikan kepada saya.”
”Mereka menunjukkan sokongan yang hebat kerana mereka telah membaca spekulasi dan cerita mengenai masa depan saya. Saya bersyukur kepada penyokong yang telah menunjukkan sokongan mereka terhadap saya.”
”Ini bermakna selepas 18 bulan bersama, mereka memahami semangat saya dan saya akan mempertahankan warna ini (Chelsea), baju dan lambang ini.”
”Untuk merasakan suasana ini di sekeliling saya adalah sangat penting. Sangat penting untuk merasakan bahawa orang ramai menghargai apa yang telah saya lakukan bersama Chelsea. Pada saya ianya sangat penting.”
”Saya ulangi, saya dan para pemain akan berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi memberikan kepuasan yang terbaik. Kadangkala kami mampu melakukannya, kadangkala tidak. Tetapi keinginan itu sentiasa ada.”
”Untuk keyakinan kami, ianya sangat penting untuk memperoleh tiga mata penuh, untuk menang dan menamatkan perlawanan dengan satu lagi keputusan tanpa melepaskan jaringan. Sekarang kami perlu fokus pada persiapan satu lagi perlawanan dalam Piala FA (bertemu Hull City di Stamford Bridge).
Pada perlawanan bertemu WBA, Conte membariskan Olivier Giroud sebagai pemain di kesebelasan utama buat pertama kali dan pemain antarabangsa Perancis itu berjaya mencipta satu bantuan gol kepada Eden Hazard.
Giroud kemudiannya digantikan oleh Alvaro Morata untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan yang memaksa beliau berehat dalam beberapa perlawanan pada tahun 2018 ini.