Tonggak pertahanan Manchester United, Phil Jones mengakui bahawa United sememangnya berhak untuk tewas ketika bertemu Newcastle United di St James’ Park kelmarin.
Kekalahan tersebut menjadikan The Red Devils ketinggalan 16 mata dibelakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City.
Keadaan yang membuatkan peluang kelab bimbingan Pep Guardiola itu semakin hampir untuk mendakap kejuaraan liga musim ini.
Jaringan tunggal dari Matt Ritchie pada minit ke-65 tersebut sekaligus melebarkan rekod tanpa kemenangan Jose Mourinho dalam saingan liga di gelanggang keramat Newcastle United itu.
Bercakap kepada MUTV, Phil Jones berkata: ‘’Saya merasakan keputusan tersebut adalah adil. Saya tidak rasa kami layak untuk memenangi perlawanan ini.’’
‘’Kami bermula dengan sangat perlahan dan serba tidak menjadi. Pemain tuan rumah bermain dengan baik serta mendapat momentum perlawanan.’’
‘’Pada separuh masa kedua, kami memperoleh beberapa peluang tetapi kami tidak memanfaatkannya. Kami tidak begitu baik pada perlawanan hari ini (kelmarin). Kami bermula dengan sangat perlahan dan tidak mendapat rentak permainan sebenar kami.’’
‘’Kami perlu untuk beraksi dengan lebih baik daripada apa yang telah dipamerkan jika kami mahu meningkatkan permainan.’’
Kemenangan 2-0 yang dicatatkan oleh Liverpool keatas Southampton semalam menyaksikan skuad The Reds hanya dipisahkan dua mata sahaja dengan skuad bimbingan Jose Mourinho itu.
Dengan persaingan bagi merebut slot ke aksi Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan kelihatan semakin mendebarkan, Phil Jones mengakui kenyataan bahawa Manchester United perlu terus meningkat.
’’Ianya merupakan hari yang mengecewakan tetapi kami perlu bangkit semula. Itu sahaja yang kami tahu kami perlu lakukan. Kami kecewa tetapi kami perlu meningkatkan prestasi.’’