EKSKLUSIF CNY: Yong Kuong Yong, Duta Kaum Cina Dalam Arena Bola Sepak Tempatan

Sempena perayaan Tahun Baru Cina (CNY) yang akan disambut pada Jumaat ini, Semuanya BOLA telah berpeluang untuk menemubual salah seorang pemain berbangsa Cina iaitu Yong Kuong Yong.

Pemain dari kaum Cina di dalam Liga Malaysia (Liga M) dilihat kian menyusut saban tahun dan dalam musim terbaharu juga dilihat tiada pertambahan kepada senarai tersebut.

Antara pemain yang masih beraksi dalam Liga M untuk musim 2018 adalah pemain serba boleh, Yong Kuong Yong, yang kini beraksi di 100Plus Liga Premier bersama Pulau Pinang.

Bagaimana bermula?

Menurut Yong yang kini berusia 29 tahun, pada 2006, selepas kejohanan Piala Dunia di Jerman, semua rakan-rakannya telah mula bertukar ke permainan bola sepak.

Sebelum itu, mereka selalu bermain bola keranjang dan apabila bertukar kepada bola sepak, Yong menyatakan dirinya mula meminati sukan tersebut.

“Pasukan kampung saya bermain dalam liga Port Dickson dan Seremban,” ujarnya ringkas mengenai pasukan pertamanya selepas peringkat sekolah.

“Abang saya tengok saya ada potensi untuk bermain bola sepak. Jadi, mereka telah ajar dan bawa saya untuk bermain di dalam liga tersebut,” tambahnya lagi.

Skuad NSCRC menjuarai kejohanan tahun 2006. Yong muncul selaku penjaring terbanyak dengan 8 gol pada usia 18 tahun. Foto: The Star.

Dia juga memaklumkan pernah beraksi untuk pasukan Negeri Sembilan Chinese Recreation Club (NSCRS) untuk kejohanan Piala Malaysia Chinese Football Association (MCFA).

“Coach Christoper Khoo NSCRC telah bawa saya pergi pemilihan skuad B-19 Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Dan saya terpilih untuk bersama skuad B-19 Kuala Lumpur,” jelasnya.

Posisi kegemaran

Disebabkan sepanjang kariernya dia telah berpeluang merasai hampir semua posisi kecuali penjaga gol, Semuanya BOLA telah bertanyakan mengenai posisi kegemarannya.

Perubahan posisi secara drastik adalah ketika Yong beraksi di Pulau Pinang pada musim 2014 iaitu beralih ke posisi pertahanan tengah dan selepas itu ke pertahanan kanan.

Sejak awal kariernya, Yong lebih dikenali sebagai pemain tengah dan juga penyerang iaitu ketika bermain bersama Kuala Lumpur, Felda United dan Perak.

Antara aksi Yong ketika bersama Terengganu. Foto: Terengganu FA.

“Semua posisi ada tanggungjawab masing-masing. Tiada istilah selesa dengan posisi yang diberikan ketika bermain kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

“Contohnya, penyerang memerlukan pemain-pemain menyerang untuk membantunya. Pertahanan kalau berseorangan juga tidak mampu bertahan,” tambahnya lagi.

“Faham tak apa saya hendak sampaikan?” soal Yong dalam nada bergurau, mungkin mahu menjelaskan bahawa tiada posisi yang digemari sepanjang keriernya.

Dibayar gaji untuk hobi

Yong pernah ditemubual sekitar 2011 bersama Faliq Firdaus yang kini merupakan Ketua Bahagian Media dan Komunikasi, Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFPD).

Dalam temuramah yang dimuatnaik di laman blog, Apa Kata Faliq, Yong menyatakan yang dia tiada apa-apa kelulusan dan hanya tahu bermain bola sepak.

“Saya tiada diploma, ijazah. Sijil pun tiada. Saya tidak pandai belajar, saya gagal dalam SPM. Dan dengan bermain bola sepak, saya boleh dapat gaji dengan hobi saya.

Ketika Yong mewakili Kuala Lumpur. Foto: FaliqFirdaus blog.

“Saya tidak pandai. Masa B-19 (Kuala Lumpur), susah untuk bercakap dengan rakan-rakan. Selalu kena ejek, bodoh punya cina, cina bodoh,” ujar Yong lagi kepada Apa Kata Faliq.

Tetapi itu semua adalah gurauan bersama rakan-rakan. Tiada istilah rasis atau perkauman kerana bagi Yong, dia dan rakan-rakannya suka bergurau antara satu sama lain.

“Sebab percakapan saya tidak betul. Selalu jadi bahan jenaka. Tetapi, saya balas balik juga,” jelasnya lagi sambil ketawa mengenang kisah ketika dia remaja itu.

Pemain cina yang digemari

Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee pernah menyatakan kurangnya minat kaum Cina untuk menjadikan bola sepak sebagai kerjaya adalah disebabkan masalah gaji.

“Faktor utama mengapa pemain Cina mula berkurang adalah disebabkan liga kita mengalami masalah pembayaran gaji,” ujar Kim Swee kepada rancangan Nadi@1, sekitar tahun 2015.

Bagi Yong pula, masalah utama adalah daripada ibu bapa sendiri yang tidak mahu anak-anak mereka terlibat dengan kerjaya sebagai pemain bola sepak.

“Kebanyakan ibu bapa mahu anak mereka belajar, dari kecil hanya belajar. Bila sudah dewasa baru mereka mahu bermain bola sepak. Namun, ianya sudah lewat.

Antara pemain yang digemari Yong, Chow Chee Weng. Foto: Getty Images.

“Dan dalam akhbar-akhbar Cina juga kurang berita mengenai bola sepak Malaysia. Tiada maklumat mengenai bola sepak tempatan,” tambahnya lagi.

Yong menyatakan dia pernah mengalami masalah gaji, namun, hasil bantuan keluarga terutama abangnya, dia berjaya mengharungi masalah tersebut.

Bercerita tentang pemain berbangsa Cina yang digemarinya, Yong dengan pantas menyenaraikan beberapa nama pemain antaranya bekas pemain Negeri Sembilan, Ching Hong Aik.

“Chow Chee Wen, Wong Sai Kong, Chan Wen Hong dan Ching Hong Aik,” tutur Yong yang turut menjadikan pemain antarabangsa Sepanyol, Andres Iniesta sebagai idolanya.

Sambutan CNY 2018

Ketika ditanya mengenai sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, Yong menjelaskan yang jika diberikan cuti, dia selalu akan pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan.

“Selalunya saya akan balik (Negeri Sembilan) kalau tiada perlawanan dan jurulatih bagi cuti. Kadang-kadang musim itu CNY bertembung dengan hari perlawanan, jadi tidak dapat balik.

“Atau selepas perlawanan baru balik,” tambah Yong lagi sambil memaklumkan pasukannya, Pulau Pinang telah memberikan cuti kepadanya bermula pada 14 Februari ini.

Semuanya BOLA turut bertanya tentang aktivitinya pada setiap tahun ketika perayaan CNY dan menurutnya keluarganya tidak menyambut CNY pada tahun lepas.

Yong bersama isteri dan anak sulungnya. Foto: Yong Kuong Yong.

“Dua tahun lalu, ayah saya meninggal dunia, jadi pada tahun lalu kami tidak menyambut CNY,” ujar Yong yang kini telah memiliki seorang cahaya mata bersama isterinya, Ch’ng Ee Lin.

Yong menceritakan kepada Semuanya BOLA, hari pertama CNY akan dihabiskan bersama keluarganya, hari kedua ziarah saudara mara dan pada hari ketiga menziarahi rumah rakan-rakan.

Tahun ini merupakan tahun pertama dia dan isteri akan menyambut CNY bersama keluarga kecil mereka dengan kehadiran anak lelaki sulungnya, Jordan Yong.

“Tentulah gembira. Dah tak sabar nak balik,” ujarnya mengenai perasaan menyambut CNY tahun ini sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua peminat dan penyokong bola sepak tanahair.

“Selamat tahun baru dan Gong Xi Fa Cai! Dan kepada rakyat Malaysia yang lain, selamat bercuti!” ucap Yong sebelum menutup bicaranya bersama Semuanya BOLA.

Penutup

Buat Yong Kuong Yong, dan semua komuniti bola sepak termasuk pembaca kami yang berbangsa cina, kami di Semuanya BOLA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada anda.

新年快乐. 万事如意. 万事顺利!
Xin Nian Kuai Le. Wan Shi Ru Yi. Wan Shi Shun Li!

Selamat Tahun Baru. Semoga semua cita-cita mu tercapai. Semoga semuanya dipermudahkan!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN