Terengganu FC dan Selangor. Pertembungan antara Terengganu FC (TFCI) dan pendahulu Liga Super, Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam ini, menjanjikan aksi menarik setelah kedua-dua pasukan berusaha melebarkan rekod tanpa kalah masing-masing pada musim ini.
Dua keputusan seri bagi Terengganu FC, dan dua kemenangan bagi Selangor. Kedua-dua pasukan pasti tidak mahu kekalahan merencatkan rentak saingan masing-masing setakat ini.
Rekod lampau
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di peringkat saingan Liga Super ialah pada musim 2015.
Terengganu menewaskan Selangor 3-1 di tempat sendiri pada Mac 2016, sebelum mencatatkan keputusan seri 1-1 di halaman lawan. Walaupun tidak tewas kepada Selangor pada musim tersebut, kedua-dua pasukan mengalami nasib yang berbeza pada penghujung musim.
Tatkala Selangor mengakhiri saingan liga di kedudukan ke-5, Terengganu berada di kedudukan tercorot, menyebabkan mereka beraksi di saingan 100PLUS Liga Premier pada musim 2017.
Prestasi semasa
Banyak perkara boleh diperkatakan mengenai kedua-dua pasukan. Skuad Irfan Bakti setakat ini telah menunjukkan bahawa mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi dalam saingan domestik bola sepak negara.
Terengganu FC mencatat keputusan seri 2-2 dalam perlawanan minggu pertama menentang PKNS FC pada minggu pertama, sebelum diikat 1-1 oleh Kelantan di arena lawan.
Ia bukan permulaan sempurna, namun kredit harus diberikan kepada Irfan Bakti kerana berjaya mengumpulkan pasukan yang mampu bersaing di peringkat ini.
Bagi Selangor, dua kemenangan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras adalah sesuatu yang mengujakan. Apatah lagi selepas pasukan ini kehilangan beberapa pemain utama pada musim lalu seperti Andik Vermansyah, Adam Nor Azlin, dan juga Ugo Ukah.
Enam mata maksimum, enam gol dijaringkan dan dibolosi sekali, adalah petanda Selangor memandang serius cabaran mereka pada musim ini
Namun demikian, secara teknikal ini adalah perlawanan pertama Selangor bertandang ke luar untuk aksi di tempat lawan.
Setelah menikmati sokongan ribuan penyokong dalam dua perlawanan terdahulu, saingan pada musim ini pasti berbeza buat skuad baru P.Maniam.
Pemain tumpuan: Terengganu FC
Bagi kem Terengganu FC, cabaran memburu jaringan sudah pasti akan terus disandarkan kepada tenaga import, Tchetche Kipre. Namun demikian, pemain seperti Abdul Malik Arif yang memiliki kepantasan juga wajar diberikan perhatian.
Selain daripada Tchetche Kipre, Terengganu FC pastu turut mengharapkan pemain seperti Ashaari Samsuddin menemui sentuhan penyudah.
Jika perlawanan menentang PKNS FC diambil kira, Terengganu FC telah berjaya memperolehi deretan peluang, namun gagal disudahkan oleh pemain di barisan hadapan.
Jentera di bahagian tengah pasti akan disandarkan kepada Lee Tuck. Bertindak sebagai seorang pemain tengah pertahanan, Lee Tuck harus bijak untuk melakukan tugas ketika membantu barisan pertahanan, dan juga mengambil kira keperluan ketika membantu bahagian serangan.
Ketenangan pemain ini di bahagian tengah akan dijadikan penentu sama ada Terengganu mampu bertahan daripada rangkaian serangan Selangor, dan juga ketika melakukan serangan balas.
Menentang Selangor juga adalah medan terbaik bagi pemain import daripada Kemboja, Chanthacheary Bin untuk membuktikan keupayaannya.
Antara perkara yang perlu diberikan penekanan oleh Irfan Bakti untuk skuad Terengganu, sudah pasti ialah kegagalan mengekalkan momentum selepas beroleh gol awal dan membenarkan lawan untuk kembali dalam permainan seperti ketika menentang PKNS dan juga Kelantan.
Pemain tumpuan: Selangor FA
Banyak boleh diperkatakan mengenai Selangor.
Rufino Segovia membuktikan mengapa P. Maniam terus mempertaruhkan dirinya untuk mengetuai jentera serangan The Red Giants pada musim ini, apabila berjaya menjaringkan 2 gol dalam setiap dua perlawanan setakat ini.
Sepertimana ketika kemenangan menentang Melaka United, kelibat Evan Dimas pasti akan terus dituntut untuk mengawal tempo pasukan Selangor.
Kelibat K. Kannan dan D. Kugan di setiap sisi bek sayap juga sangat baik dan menjadi asas penting dalam aspek serangan Selangor.
Ini memudahkan pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah dan wira dua gol perlawanan lalu, Syahmi Safari bergerak ke hadapan di fasa serangan.
Jika kemenangan ketiga berturut-turut mampu dicapai oleh anak buah P. Maniam, maka Selangor mengesahkan bahawa mereka bersedia untuk bersaing untuk kejuaraan liga pada musim ini.
Rumusan
Mampukah Terengganu FC menamatkan badi seri di halaman sendiri pada malam ini? Atau adakah Selangor akan meneruskan penguasaan mereka di tangga teratas unifi Liga Super 2018 dengan kemenangan?
Bagi penyokong Selangor yang tidak berkesempatan untuk ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam ini, anda boleh mengunjungi laman iflix atau pun siaran RTM TV1 untuk siaran secara langsung mulai jam 8:45 malam.
Buat penyokong Terengganu FC, hadirlah dan gemakanlah sokongan anda di stadium!