Kelmarin, dokumen mengenai senarai gaji semua pemain pasukan Kedah didedahkan secara meluas di laman media sosial dan aplikasi whatsapp yang dipaparkan menerusi satu muka surat penuh membabitkan pembayaran gaji pemain itu untuk musim 2017 dan juga musim 2018.
Dipercayai dokumen ini disebarkan oleh staff Kedah FA sendiri kerana maklumat ini hanya mampu diakses oleh mereka.
Dokumen ini juga turut mendedahkan Kedah memperuntukkan antara USD15,000-20,000 (RM58,623-78,164 berdasarkan kadar tukaran mata wang asing USD-Ringgit) untuk 2 lagi pemain import mereka.
Mengulas mengenai perkara itu kepada Berita Harian, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan maklumat gaji pemain itu sebenarnya palsu.
Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Menteri Besar Kedah berkata maklumat tersebut tidak tepat dan pihak yang menyebarkannya mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan pasukan Kedah.
“Maklumat mengenai gaji pemain yang disebarkan di media sosial itu tidak betul dan kita akan siasat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.
“Tindakan menyebarkan maklumat palsu gaji pemain ini bertujuan untuk mengalih perhatian pasukan Kedah dan juga memecahbelahkan pemain kita.
“Ini sama seperti tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu mengenai senarai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 di media sosial baru-baru ini dengan niat untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan ahli parti,” katanya.
Jika senarai nilai gaji ini tepat seperti yang tertera dalam dokumen ini, bermakna Kedah membelanjakan kira-kira RM1.3 juta sebulan untuk gaji pemain mereka.
Ini bermakna bajet semusim Kedah FA untuk gaji pemain (termasuk KWSP dan Socso) mungkin mencapai jumlah antara RM15-20 juta semusim.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, bercakap kepada Berita Harian,pihaknya akan menyiasat kesahihan maklumat yang disebarkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
“Sebagai CEO yang baharu, saya mengambil serius mengenai penyebaran dokumen gaji membabitkan pemain di laman sosial walaupun kesahihannya dilihat agak meragukan.
“Namun, saya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendedahkan perkara sulit terutama berkaitan gaji pemain.
“Memang berita yang tular dalam Internet sukar dibendung, malah setiap hari kita didedahkan dengan banyak berita yang kurang sahih seperti berlaku dalam hal politik dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.