Ultras KL Umum Boikot Perlawanan Kuala Lumpur Lawan JDT

Kumpulan penyokong garis keras pasukan Kuala Lumpur, iaitu Ultras Kuala Lumpur yang turut dikenali sebagai ‘The City Boys’ hari ini mengumumkan bahawa mereka ‘tidak akan beraksi’ untuk memberi sokongan ketika pasukan Kuala Lumpur berhadapan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perlawanan di antara Kuala Lumpur dan juga JDT dijadualkan akan berlangsung pada malam esok, jam 9 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kredit: The City Boys, Facebook

Pertemuan ini merupakan perlawanan ketiga Liga Super 2018 membabitkan kedua-dua pasukan. Setakat ini, JDT telah mengumpul 6 mata maksimum, dan menduduki tangga kedua unifi Liga Super 2018.

Manakala Kuala Lumpur sudah pasti perlukan setiap sudut sokongan daripada setiap pihak berkepentingan, untuk memastikan kekalahan kali ketiga berturut-turut tidak akan terjadi pada permulaan musim ini.

Tindakan ‘tidak akan beraksi’ diumumkan oleh The City Boys melalui laman media sosial Facebook milik kumpulan penyokong itu pada petang tadi atau kata lain ialah untuk tidak menghadiri perlawanan tersebut.

Tindakan oleh The City Boys ini dipercayai kerana rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), yang memperuntukkan sehingga 80% kapasiti tempat duduk kepada penyokong JDT yang dijangka akan membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam esok.

Situasi yang sama pada perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia ketika menentang Selangor, apabila 80% daripada kapasiti stadium dipenuhi oleh penyokong lawan.

Pihak KLFA juga hanya akan memperuntukkan 20% daripada tempat duduk penyokong kepada pasukan penyokong sendiri.

Antara kenyataan oleh The City Boys ialah: ‘Biar fans boleh kira pakai jari tetapi jangan sebab duit kau lupa Stadium sendiri.’

Kemarahan oleh kumpulan Ultras Kuala Lumpur ini mudah difahami.

Walaupun skuad warga kota tidak mempunyai ramai penyokong sepertimana pasukan lain yang bersaing di Liga Super Malaysia 2018, Ultras Kuala Lumpur mahukan pihak pengurusan agar menghormati status Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah kepada skuad warga kota.

Oleh kerana itu, The City Boys tidak mahu pihak pengurusan KLFA mementingkan hasil kutipan tiket semata-mata, dan tidak sehingga menggadai status stadium berkenaan sehingga menjadi seperti gelanggang milik lawan.

Keadaan tersebut sudah pasti tidak akan memberi kelebihan kepada pasukan Kuala Lumpur yang beraksi atas status tuan rumah.

Berdasarkan situasi ini, KLFA mungkin mahu mengambil kesempatan untuk mengutip hasil jualan tiket secara maksimum.

Tetapi KLFA juga harus beringat. Skuad Warga Kota mungkin tidak mempunyai penyokong yang ramai seperti pasukan lain.

Namun soalan yang perlu ditanya terlebih dahulu ialah, apakah langkah proaktif yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan KLFA untuk menarik lebih ramai penyokong?

Sampai bilakah KLFA sekadar mahu mengharapkan penyokong pasukan lawan untuk meningkatkan hasil jualan tiket perlawanan?

Kredit: The City Boys, Facebook

Bukankah lebih menarik jika stadium dipenuhi oleh penyokong mereka sendiri?

Atau mungkinkah sudah tiba masanya untuk pihak pengurusan KLFA dan juga The City Boys untuk duduk semeja mencari kaedah secara bersama-sama untuk menarik penyokong menyokong skuad warga kota?

Jika Kuala Lumpur pernah melakukannya pada lewat 80an sehingga awal 90an, kami yakin masih ramai sebenarnya di kalangan warga kota pada hari ini yang masih sayangkan pasukan bola sepak Kuala Lumpur.

Pada pendapat penulis, tidak salah KLFA dan The City Boys sama-sama usahakan langkah ini, demi bola sepak Kuala Lumpur.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN