Previu MSL 2018: Perhitungan Kedah Dan Perak Bakal Jadi Tumpuan

Kedah

Pertembungan diantara Kedah bertemu Perak di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini bakal menjanjikan aksi menarik yang dapat disaksikan dalam usaha kedua-dua pasukan mencari kemenangan sulung dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.

Tuan rumah, Kedah tewas pada 2-1 perlawanan sulung yang juga merupakan Piala Sumbangsih kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Perak terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Pahang di Kuantan.

Prestasi semasa

Kedah perlu segera bangkit dari kekalahan bertemu JDT pada minggu lalu untuk kembali meletakkan pasukan tersebut di landasan yang tepat bagi bersaing hebat dalam mengejar mahkota Liga Super musim ini.

Pada pertemuan di Larkin, pemain Kedah kelihatan bergelut untuk mendapat rentak seperti yang diharapkan.

Barisan pemain pertahanan dilihat kurang agresif dan mudah bocor apabila diberikan ancaman oleh jentera serangan JDT

Isu kecergasan para pemain juga menjadi antara faktor yang menyebabkan Kedah gagal untuk menterjemahkan persembahan yang lebih berkesan pada malam itu.

Bagi pasukan Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic, masalah penyudah yang tumpul mengakibatkan usaha bagi memperoleh kemenangan ketika bertemu Pahang di Kuantan menemui jalan buntu.

Perak berjaya mencipta beberapa peluang menarik namun sentuhan penyudah jentera serangan yang diketuai Gilmar Jose Da Silva Filho masih belum terbukti keberkesanannya pada perlawanan pertama itu.

Rekod pertemuan dalam Liga Super

Sejak Liga Super diperkenalkan pada tahun 2004, Kedah dan Perak telah bertemu sebanyak 19 kali dalam saingan liga utama tanah air itu.

Kedah mempunyai rekod lebih baik apabila telah memenangi lapan perlawanan dan enam kemenangan memihak buat Perak. Sementara itu lima keputusan seri dicatatkan.

Bagi keputusan musim lalu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 di Stadium Perak, Ipoh dan Perak menumpaskan Kedah di Stadium Darul Aman dengan keputusan 3-2.

Kemenangan tersebut merupakan kali pertama buat Perak di gelanggang keramat skuad Lang Merah itu selepas kali terakhir menang di gelanggang yang sama pada bulan Mei 2004.

Perlawanan itu juga pasti tidak akan dilupakan oleh pemain import Perak iaitu Gilmar yang menjaringan gol sulungnya dalam penampilan pertama bersama Perak pada pertengahan musim lalu.

Pemain tumpuan

Liridon Krasniqi. Foto: Kedah FA

Kelibat Liridon Krasniqi sudah pasti terus ditagih pasukan Kedah untuk menjelmakan ‘magis’ yang diharapkan dengan kemahiran tinggi yang dimiliki pemain yang berusia 26 tahun itu.

Beliau yang sedikit tenggelam pada pertemuan di Larkin perlu bangkit untuk kembali merencana sesuatu yang lebih mendatangkan bahaya buat Perak. Begitu juga dengan Baddrol Bakhtiar.

Pertahanan Kedah pula perlu berhati-hati dengan ancaman dari pemain import baharu Perak, Wander Luiz Bitencourt Junior yang ternyata memainkan peranan penting buat Perak di Kuantan tempohari.

Wander Luiz bersama Nazirul Naim sebelum mengambil sepakan percuma. Foto: Perak TBG

Pemain kelahiran Brazil ini mampu untuk melakukan percubaan-percubaan berbahaya di luar kotak penalti.

Beliau juga turut berkeupayaan untuk melakukan hantaran jauh yang baik bagi membuka peluang buat dua pemain sayap, Misagh Bahadoran dan Norhakim Hassan untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Kedah.

Sebelum wisel

Pertemuan dua pasukan dari utara tanah air ini kebiasaannya akan menjanjikan satu aksi yang menarik untuk disaksikan.

Para peminat sudah pasti akan mengharapkan permainan berkualiti ditampilkan pada perlawanan malam ini dalam usaha anak buah Ramon Marcote dan Mehmet Durakovic mencari kemenangan sulung dalam saingan Liga Super.

Seperti kebiasaan dan sentiasa menjadi pegangan, pasukan yang kurang melakukan kesilapan dan juga bijak menyempurnakan peluang yang terhidang akan keluar dari Stadium Darul Aman sebagai pemenang.

Selamat berjuang buat Kedah dan Perak malam ini!

Foto: Sports247.my

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN