Saat yang ditunggu-tunggukan oleh peminat bola sepak tanah air akhirnya sudah tiba apabila saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 bakal membuka tirainya malam ini.
Tumpuan pasti terarah kepada perlawanan merebut Piala Sumbangsih yang melibatkan juara Liga Super 4 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan juara Piala FA 2017, Kedah.
Namun bagi kapten pasukan Kedah, Baddrol Baktiar, beliau dan rakan sepasukannya sudah melakukan persiapan yang rapi sejak beberapa minggu lepas untuk menghadapi skuad Harimau Selatan itu.
“Perlawanan ini akan menjadi satu aksi yang sengit, kami akan bermain sebaik mungkin dan mematuhi segala arahan jurulatih.
Bagi saya sendiri memang begitu mengharapkan keputusan yang positif dan kemenangan ini penting untuk memberi dorongan kepada pasukan.
“Kalau tahun lepas kami main dengan jurulatih tempatan tahun ini lain sedikit, tetapi itu tidak menjejaskan apa-apa. Cuma perbezaan taktikal seperti permainan laju,” katanya kepada Sinar Harian.
Baddrol turut menjelaskan pasukannya hadir selaku “underdog” dan akan bermain tanpa tekanan.
“Kami tidak terlalu tertekan kerana datang sebagai pasukan underdog, tapi perasaan gementar semestinya ada, bukan untuk satu atau dua perlawanan sahaja, semua aksi pemain akan rasa perkara yang sama.
Kami sudah bermain di sini tahun lepas, sebelum mula itu mesti ada gementar tetapi bila dah main hilang,” katanya.
Beliau yang mrangkul anugerah pemain paling bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan tahun lalu mahu pastikan pasukan Kedah menguasai permainan dan tidak bolos terlalu awal.
“Pada saya, untuk menentukan kemenangan, siapa yang skor dulu dan siapa akan bertahan adalah paling utama. Jadi kami akan buat sehabis baik dalam perlawanan ini,” jelasnya.
Sementara itu, pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon yakin dengan kemampuan pasukannya untuk mencalarkan rekod tanpa kalah JDT di Larkin sekaligus meraih Piala Sumbangsih buat kali kedua berturut-turut.
“Kita akan bertemu JDT sekali lagi dan sudah tentu Kedah mahu mempertahankan piala ini. Kali ini pasukan berbeza dengan kedua-dua pasukan menguatkan pasukan dengan membawa masuk pemain baru.
“Memang kelebihan kepada DT yang beraksi di laman sendiri tapi tahun lalu kita sudah buktikan dan pemain-pemain sudah bersedia untuk melakukan sekali lagi,” katanya kepada Berita Harian.