Juara Liga Super empat kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat kejutan apabila mengumumkan Gonzalo Cabrera sebagai pemain import kelima bagi mengisi slot kuota pemain import Asia yang masih kosong.
Menerusi rakaman video bertajuk “Money Can’t Buy Class” di laman facebook rasmi Johor Southern Tiger (JST), pemilik kelab itu, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menunjukkan pemain import baharu yang datang dengan menaiki kereta mewah apabila ditanya oleh Luciano Figueroa.
Sebelum ini, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman rasmi JST mengumumkan penguguran Cabrera bersama dengan Gabriel Guerra dan ‘jodoh’ pemain kelahiran Argentina itu dengan pasukan terbabit hanya dapat bertahan selama semusim.
Pengguguran itu diumumkan selepas JDT berjaya mengikat kembali bekas penggempur mereka, Luciano Figueroa yang keluar daripada persaraan untuk kembali beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Malah bukan sahaja Figueroa, JDT turut memanggil kembali penjaring terbanyak Liga Super musim 2015, Jorge Pereyra Diaz untuk menyertai mereka bagi mengharungi musim baharu.
Cabrera yang juga bekas pemain Boca Juniors menjadi antara tonggak buat pasukan bimbingan Ulisses Morais pada musim lepas apabila membantu JDT meraih kejayaan berganda pada musim ini dengan menggondol kejuaraan Liga Super serta Piala Malaysia.
Beliau berjaya menjaringkan 19 gol dan melakukan lima hantaran gol sepanjang musim lepas dalam 35 perlawanan.
Malah, gol dari Gonzalo Cabrera pernah tercalon untuk jaringan tercantik dalam Anugerah Gol Terbaik Mingguan Piala AFC 2017 ketika menentang Ceres Negros.
Gol beliau yang terhasil dari jarak 20 meter dicabar oleh jaringan dari Bienvenido Maranon ketika menentang JDT menerusi rembatan dari luar kotak penalti.
Kehadiran beliau dalam skuad JDT pasti akan menghadirkan saingan sengit dalam Liga Super musim ini dan JDT dilihat sebagai pasukan pilihan untuk muncul sebagai juara Liga Super.