Semua Pasukan Liga Malaysia Mungkin Diwajibkan Mempunyai Marshall

Bagi mengawal penyokong dan mengelakkan berlaku kekecohan ketika perlawanan bola sepak, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) membentuk pasukan marshall  sendiri untuk berkawal di stadium setiap kali perlawanan berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah bercakap kepada Berita Harian, beliau akan mengusulkan cadangan tersebut dalam mesyuarat Exco FAM yang akan datang.

“Kita nak galakkan persatuan negeri atau kelab membentuk pasukan marshall dan ambil contoh daripada Johor Darul Ta’zim (JDT). Kalau tak silap saya JDT mempunyai kira-kira 300 marshall dan mereka banyak membantu pihak polis.

“Marshall terdiri daripada orang awam, jadi mereka lebih rapat dengan penonton dan boleh berperanan memberi nasihat supaya tidak melakukan provokasi atau kekecohan,” katanya pada sidang media.

JDT satu-satunya pasukan Liga Super yang mempunyai marshall sendiri untuk mengawal penonton di stadium.

Bagi mengelakkan stadium dipenuhi oleh jumlah penyokong yang melebihi kapasiti tempat duduk, beliau turut mencadangkan semua persatuan dan kelab dapat meletakkan nombor pada tempat duduk penonton di stadium masing-masing.

“Kami juga akan adakan bengkel keselamatan pada minggu ketiga bulan ini yang membabitkan pengurusan stadium, wakil pasukan dan polis. Kami jangka ia akan disertai kira-kira 150 peserta dan kami akan jemput pakar dalam pengurusan keselamatan stadium,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk Persatuan bolasepak Kedah (KFA) sedang mencari 20 marshall berbadan tegap untuk kawalan di pintu masuk dan memantau keadaan Stadium Darul Aman bagi saingan Liga Malaysia musim 2018.

Pengerusinya, Shaharol Niza Omar berkata kepada Sinar Harian, pihaknya perlu mencari marshall yang mampu mengawal penonton dengan lebih baik terutamanya membabitkan perlawanan yang mempunyai jumlah kehadiran yang tinggi berdasarkan maklumbalas dan ‘post-mortem’ bagi musim 2017.

Menurutnya, ada marshall gagal menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan situasi tersebut akan dipantau dengan lebih teliti pada musim ini.

“Apabila ada marshall yang badan ‘sado’, penyokong mungkin akan berfikir dua kali untuk membuat sebarang kekecohan. Malah kami juga memerlukan mereka yang kental dari sudut mental iaitu ada kesabaran tinggi dalam menjalankan tugas melayan kerenah puluh ribu penyokong.

“Malah khidmat mereka juga diperlukan semasa urusan di dalam stadium bagi mengelakkan penyokong berkumpul dan berdiri di hadapan pintu masuk ke dalam stadium untuk ke ruang tempat duduk,” katanya.

Kami di SemuanyaBOLA menyambut baik langkah ini kerana menyifatkan ia dapat membantu penyokong menonton perlawanan bola sepak di Stadium dengan lebih selesa dan mengelakkan berlakunya lebihan jualan tiket yang melebihi jumlah kapasiti stadium. Ini semua untuk keselamatan penyokong sendiri yang lebih terjamin.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN