Kelab dari Indonesia, Persib Bandung merancang untuk membawa masuk pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Indonesia musim 2018.
Antara nama yang menjadi calon untuk menggantikan beberapa pemain yang telah meninggalkan kelab itu untuk mencari angin baru ialah bekas pemain Selangor, Andik Vermansah.
Andik kini berstatus free agent setelah tidak disambung kontrak oleh pasukan Selangor FA.
Pengendali Persib Bandung, Roberto Carlos Mario Gomez mengakui kualiti yang dimiliki oleh Andik Vermansah.
Beliau yang pernah mengendalikan pasukan JDT, telah pun melihat corak permainan Andik ketika dalam saingan Liga Malaysia.
“Iya, saya kenal dia sejak di Selangor. Saya tahu permainan dia ketika melawan Johor. Dia pemain yang bagus,” kata Gomez.
Selain itu, menurut pembantu jurulatih Persib Bandung, Fernando Soler, nama Andik Vermansah sudah dicadangkan kepada pihak pengurusan PERSIB bersama 5 calon pemain lain.
“Itu nama (Andik Vermansah), dari enam pemain dia ada masuk tapi kini sekarang keputusan terletak pada pihak pengurusan,” jelas Fernando Soler.
Sementara itu, Gomez menyokong tindakan pemain pertahanan pasukan itu, Ahcmad Jufriyanto menamatkan kontrak untuk menyertai pasukan Kuala Lumpur musim ini.
“Saya sudah dimaklumkan mengenai pemergian Jufriyanto. Bagi saya, tiada ada masalah untuk beliau pergi ke mana sahaja. Kami sedia mencari pemain lain,” katanya.
“Dan jika pemain itu masih muda, dia memang patut berhijrah untuk mengembangkan skill permainannya. Itu sangat penting untuk karier profesionalnya,” ujar Mario Gomez.
Sebelum ini, pasukan Kuala Lumpur tidak dapat menandatangani pemain itu kerana berlaku isu pelepasan daripada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).
Dengan kemasukan Jufriyanto, slot pemain import pasukan Kuala Lumpur kini sudah lengkap sepenuhnya.
Skuad bimbingan Fabio Marciel ini baru dinaikkan ke Liga Super musim ini setelah muncul sebagai juara Liga Perdana 2017.
Featured image credit: Bolalob.com