Semalam, FMLLP menerusi laman facebook rasmi mereka telah menghantar satu hantaran (post) kenyataan rasmi badan tertinggi Liga Bola Sepak Malaysia bagi menjawab kekeliruan dan tidak puas hati beberapa pasukan dan ‘seorang penyokong Kedah’.
Dalam tajuk artikel yang berjudul: Berhenti Dari Menyebarkan Berita Palsu dan Jangan Berselindung Di Sebalik Tidak Mahu Siaran Langsung, FMLLP menyatakan mereka terasa hati dengan isu tersebut.
Menurut FMLLP, setiap perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia, serta Piala FA dan Liga Premier yang terpilih dan juga Piala Sumbangsih akan disiarkan secara langsung pada musim 2018 ini.
Mereka menjelaskan tentang kekeliruan tentang siaran langsung Piala Sumbangsih yang didakwa tidak akan disiarkan secara langsung. FMLLP dengan tegas menyatakan tuduhan itu tidak masuk akal sama sekali.
FMLLP menyatakan mereka menjawab rasa tak puas hati beberapa penyokong termasuk seorang wakil penyokong pasukan Kedah. FMLLP berkata lagi:
“Sudah ada rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pasukan termasuk dari seorang wakil pasukan Kedah bahawa kehadiran penonton akan merosot jika perlawanan disiarkan secara langsung.”
“Jadi adakah Liga Malaysia sepatutnya tiada siaran untuk menggalakkan kehadiran?”
“Adalah tanggungjawab pasukan untuk menarik kehadiran penonton ke stadium dengan pelbagai cara, bukannya dengan memaksa penonton datang disebabkan tiada siaran langsung.”
Seterusnya, pihak FMLLP juga kesal dengan respon daripada segelintir penyokong kerana Pengerusi FMLLP, dan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bekerja keras untuk mendapatkan sebanyak mungkin dana siaran untuk semua pasukan.
Malangnya ada pula pihak yang mahu pendapatan tinggi tetapi tidak mahu membantu dan bekerjasama. Mereka juga mengakhiri kenyataan dengan menyindir pasukan yang pernang menolak siaran langsung musim lalu.
“Inilah masa untuk pasukan-pasukan yang pernah menolak perlawanan disiarkan secara langsung untuk berterus terang kepada penyokong masing-masing kerana tidak ada lagi alasan untuk berselindung.”
“Pihak sekretariat FMLLP menjemput pengurusan pasukan-pasukan ini untuk berjumpa bersama dengan DYAM Tunku pengerusi FMLLP jika mereka percaya bahawa menyiarkan kesemua perlawanan adalah sesuatu yang negatif.”