Teka-teki mengenai calon pemain import kelima pasukan Kedah bagi mengisi kuota pemain Asean bakal terjawab dalam masa terdekat.
Antara nama yang menjadi sebutan untuk menyarung jersi skuad Helang Merah itu ialah pemain berpengalaman skuad kebangsaan Indonesia iaitu Boaz Salossa yang beraksi di posisi serangan.
Menurut laporan daripada media Indonesia dan tempatan, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar mengesahkan khabar angin mengenai perpindahan pemain dari Indonesia itu.
Difahamkan Aminuddin sudah pun berbincang dengan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengenai calon pemain import kelima dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Segala keputusan mengenai kuota import Asean yang masih menjadi teka-teki sejak beberapa minggu lalu akan terjawab tidak lama lagi,” jelas Datuk Aminuddin kepada Sinar Harian.
“Presiden KFA akan mengumumkan hasil keputusan pengambilan pemain import itu setelah melalui pertemuan eksekutif,” katanya.
Jika mereka berjaya menandatangani Boaz Salossa, beliau merupakan pemain dari Indonesia yang ke 5 beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selain Ferdinand Sinaga (Kelantan), Achmad Jufriyanto (Kuala Lumpur) serta Evan Dimas dan Ilham Udin Armayn (Selangor).
Malah, melalui laman twitter rasmi milik Boaz Salossa, beliau memberi petanda akan berhijrah menyertai kelab lain apabila memuat naik video dengan ucapan terima kasih kepada pasukannya.
https://twitter.com/Boaz86Salossa/status/957955603917238272
Dengan perlawanan pembukaan Liga Super akan bermula dalam masa 3 hari lagi, pengendali pasukan Kedah, Ramon Marcote mengakui masa semakin suntuk untuk memburu pemain import Asean yang berkualiti dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, media vietnam melaporkan kapten skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Van Quyet dikatakan bakal menyertai pasukan Kedah untuk mengisi slot Asean bagi menghadapi saingan Liga Super 2018.
Namun begitu, Presiden Hanoi FC, Nguyen Quoc Hoi mengesahkan Nguyen masih mempunyai baki kontrak selama 2 tahun dan kekal dengan kelab itu.
Selain Boaz Salossa, media dari Indonesia turut menyebut nama Andik Vermansah juga dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Kedah.