Kemenangan bergaya 4-1 Real Madrid keatas Valencia di Estadio Mestalla memberikan sedikit kelegaan buat pengendali Los Blancos, Zinedine Zidane yang berada dalam tekanan sejak akhir-akhir ini.
Zidane juga turut mengucapkan tahniah kepada anak buahnya atas persembahan yang ditampilkan keatas pasukan di tangga ke-3 La Liga itu.
Dua jaringan menerusi sepakan penalti dari Cristiano Ronaldo pada babak pertama meletakkan skuad pelawat di landasan yang tepat untuk memperolehi kemenangan pertama di gelanggang lawan sejak Oktober lalu.
Penyerang Valencia, Santi Mina kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-58. Marcelo dan Toni Kroos kemudiannya menoktahkan perjuangan Valencia menerusi jaringan minit ke-84 dan 89 sekaligus meredakan sedikit tekanan yang dihadapi juara bertahan La Liga itu.
Zinedine Zidane ternyata gembira dengan kemenangan yang diraih setelah skuad bimbingannya tersingkir dalam persaingan Copa Del Rey ditangan Leganes pada pertengahan minggu ini.
”Saya sangat gembira,” jelas Zidane pada sidang akhbar selepas perlawanan. ”Kami perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain. Kami bermain dengan luar biasa di padang yang tidak pernah mudah buat kami tetapi kami berjaya melakukannya.”
”Kami melakukan dengan sangat baik dan kami mencapai kemenangan, sangat penting. Berada dalam saat-saat sukar dan ianya menunjukkan personaliti pemain saya.”
”Dalam bola sepak, banyak benda yang bermain di fikiran. Para pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan dan mereka tidak berputus asa.”
”Kami mentafsirkan perlawanan ini dengan sangat baik. Mereka adalah saingan kami, sekiranya kami menang, kami akan berada di atas mereka.”
Zidane turut memuji ketangkasan penjaga gol, Keylor Navas yang menafikan beberapa percubaan dari tuan rumah.
”Pada separuh masa kedua, Keylor (Navas) menyelamatkan kami dalam 10 atau 20 minit tetapi kami layak untuk memperoleh kemenangan.”