Pendatang baharu Liga Super 2018, Negeri Sembilan membuat kejutan apabila membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan pemain dari Singapura, Madhu Mohana untuk slot pemain import Asean.
Menurut kenyataan rasmi daripada media pasukan Negeri Sembilan, keputusan itu diambil setelah meneliti pengesahan daripada pakar perubatan yang berpendapat pemain itu memerlukan tempoh masa yang lama untuk pulih daripada kecederaan yang di alaminya.
Sebagai ganti, mereka menandatangani pemain skuad kebangsaan Kemboja, Prak Mony Udom bagi mengisi slot pemain import Asean.
“Pihak pengurusan berasa sangat sedih dengan tindakan ini kerana beliau merupakan seorang pemain yang cukup berkaliber malah sepanjang bersama Negeri Sembilan, beliau sentiasa menunjukkan komitmen serta mempunyai karakter dan disiplin yang baik,” kata kenyataan itu.
“Memandangkan jendela pendaftaran pemain yang ditetapkan oleh FMLLP masih lagi dibuka, tindakan wajar perlu diambil bagi melancarkan pihak pengurusan mendapatkan pemain gantian.
“Sehubungan itu, barisan kejurulatihan telah meneliti secara mendalam keperluan pasukan mengisi kekosongan kuota pemain import Asean dan sepakat menamakan Prak Mony Udom, pemain kebangsaan Kemboja sebagai import baharu bagi pasukan Negeri Sembilan,” jelas kenyataan tersebut.
Prak Mony Udom merupakan pemain yang keempat dari Kemboja yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia selepas Chan Vathanaka (Pahang), Kheo Sok Peng (PKNP FC) dan Theirry Chanta Bin (Terengganu).
Negeri Sembilan bakal kembali membuat penampilan dalam kancah liga utama tanah air itu selepas mendapat pengkhabaran gembira dari pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
Negeri Sembilan yang menamatkan Liga Premier 2017 di tempat ke-4 telah diumumkan oleh FMLLP bersama-sama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC untuk menggantikan T-Team dan Felda United bagi beraksi dalam Liga Super 2018.