Jaringan Minit Akhir Masa Tambahan Andre Sidorov Julang Uzbekistan Juarai AFC B-23 2018

Cuaca sejuk di Jiangsu, China dilaporkan sejuk dan boleh mencecah sehingga -3 celcius, tatkala pekerja-pekerja di Pusat Sukan Olimpik Changzhou sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan salji yang meliputi gelanggang perlawanan akhir Kejohanan AFC B-23 itu.

Walau apa pun rintangan, kedua-dua pasukan iaitu Vietnam dan juga Uzbekistan akan menurunkan kesebelasan terbaik masing-masing bagi menentukan siapakah yang lebih layak bergelar juara Asia B-23.

Park Hang-Seo seperti kebiasaan mengandalkan formasi 5-4-1 di dalam taktikal yang berasaskan disiplin pemain di atas padang.

Manakala Ravshan Khaydarov terus meneruskan formasi 4-2-3-1, mengandalkan kelebihan fizikal dan kelebihan teknikal bahagian tengah di atas padang.

Separuh masa pertama

Uzbekistan pantas menguasai perlawanan di peringkat awal permainan, mengambil kesempatan keadaan bersalji dan sejuk di Changzhou.

Serangan awal Uzbekistan menghasilkan dua sepakan sudut di dalam tempoh 8 minit pertama permainan. Vietnam yang seperti masih tercari arah dalam suasana permainan dan cuaca yang agak janggal bagi mereka, akhirnya dihukum.

Sepakan penjuru dari sebelah kiri serangan Uzbekistan yang diambil oleh Dostonbek Khamdamov, disambut oleh tandukan Rustamjon Ashurmatov dari jarak dekat, dengan rata-rata pertahanan Vietnam seolah terpaku, untuk meletakkan Uzbekistan di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Vietnam melalui pemain sayap Vu Van Thanh cuba memberikan ancaman, sehingga memaksa Jasurbek Yakhshiboe melakukan kekasaran untuk menghalang serangan pantas pemain tersebut.

Terjahan tersebut menjadikan Jasurbek Yakhshiboe menjadi pemain pertama menerima layangan kad kuning dalam perlawanan akhir ini.

Uzbekistan sekali lagi cuba menghukum pertahanan Vietnam apabila hantaran lintang kemas Abbosjon Otakhonov ditanduk oleh Javokhir Sidikov, namun kali ini penjaga gol Vietnam, Bui Tien Dung lebih bersedia untuk menafikannya.

Percubaan Dostonbek Khamdamov pada minit ke-19 perlawanan, turut diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam bagi memastikan mereka terus berada di dalam saingan.

Odiljon Xamrobekov menjadi pemain kedua Uzbekistan menerima layangan kad kuning selepas satu insiden pada minit ke-35 perlawanan, selepas 3 minit sebelum itu Uzbekistan menyaksikan percubaan beliau dari luar kotak penalti mudah diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam.

Vietnam turut mempunyai peluang menyamakan kedudukan apabila rembatan kaki kiri Nguyen Quang Hai pada minit ke-39 gagal menemui sasaran.

Minit ke-41 perlawanan, giliran penyokong Vietnam bersorak gembira apabila sepakan percuma oleh Nguyen Quang Hai melencong ke penjuru kiri gawang Uzbekistan untuk mengikat kedudukan sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.

Separuh masa kedua

Babak kedua perlawanan bermula lambat beberapa minit untuk memberi laluan kepada urusetia kejohanan membersihkan padang daripada salji yang semakin menebal.

Bemula separuh masa kedua, Uzbekistan tampil dengan jersi warna biru, berkemungkinan atas arahan pengadil untuk memudahkan penglihatan selepas memakai jersi warna putih dari awal perlawanan.

Uzbekistan memulakan ancaman dengan percubaan dari luar kotak penalti oleh Dostonbek Khamdamov, namun berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Vietnam.

Minit ke-58 perlawanan, Vietnam melakukan pertukaran pertama perlawanan, menggantikan Pham Duc Huy dengan Hà Duc Chinh.

Percubaan oleh Phan Van Duc pada minit ke-61 perlawanan melambung tinggi selepas situasi kelam kabut di dalam kotak penalti Uzbekistan selepas gerakan set piece oleh Vietnam.

Minit ke-65 perlawanan, giliran Uzbekistan cuba mengancam kubu Vietnam. Namun demikian lorongan cantik Akramjon Komilov menjadi sia-sia apabila Dostonbek Khamdamov terlebih dahulu berada di dalam posisi offsaid.

Minit ke-76 perlawanan, penjaga gol Vietnam, Bùi Tien Dung terpaksa menolak keluar hantaran lintang pemain Uzbekistan yang melencong ke arah gawang beliau.

Nguyen Cong Phuong yang kurang efektif sepanjang perlawanan, akhirnya dikeluarkan oleh jurulatih Park Hang-Seo untuk memberi laluan kepada Bui Tien Dung III.

Minit ke-82 perlawanan Zabikhillo Urinboev mensia-siakan peluang terbuka apabila menyepak tinggi bola selepas penjaga gol Vietnam gagal menampan kemas hantaran lintang lawan.

Uzbekistan terus kecewa apabila tandukan Javokhir Sidikov turut dinafikan oleh penjaga gol Vietnam.

Dua minit masa tambahan, kedudukan kekal 1-1 untuk perlawanan diheret ke masa tambahan.

Masa tambahan

Bersambung masa tambahan, Vietnam dan Uzbekistan memulakan perlawanan dengan aksi pantas dan saling berbalas serangan.

Pada minit ke-97 perlawanan, Bùi Tien Dung terpaksa menolak keluar rembatan deras pemain Uzbekistan dari luar kotak penalti, sebelum Vietnam mensia-siakan sepakan percuma seminit berikutnya.

Bui Tien Dung III turut menerima kad kuning daripada pengadil selepas terjahan keras ke atas pemain lawan.

Babak pertama masa tambahan akhirnya berakhir, dan keputusan masih lagi Vietnam 1-1 Uzbekistan.

Bersambung babak kedua perlawanan di masa tambahan, masih tiada tanda-tanda salji akan berhenti daripada turun. Namun demikian keadaan pengadil memutuskan aksi untuk diteruskan untuk separuh masa kedua masa tambahan perlawanan.

Nguyen Quang Hai terlebih dahulu menguji Uzbekistan melalui percubaan jarak jauh, namun mudah diselamatkan oleh penjaga gol lawan.

Pengadil perlawanan melayangkan kad kuning masing-masing untuk Dostonbek Tursunov dan Do Duy Manh selepas insiden tolak menolak di dalam kotak penalti Vietnam

Minit ke-115 menyaksikan serangan balas pantas oleh Vietnam hampir membuahkan hasil, namun tandukan Hà Duc Chinh tersasar ke sebelah kiri gawang Uzbekistan.

Andre Sidorov yang dimasukkan dua minit sebelum itu, akhirnya meletakkan Uzbekistan di hadapan selepas menanduk masuk sepakan penjuru  Dostonbek Khamdamov.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat, dan Uzbekistan menundukkan Vietnam 2-1 untuk mucul juara AFC B-23.

Penutup

Uzbekistan akhirnya dijulang sebagai juara kejohanan AFC B-23 2018. Buat Vietnam, syabas dan tahniah. Anda telah menunjukkan bahawa bola sepak Asia Tenggara turut mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Semoga di kejohanan yang lain negara-negara dari rantau Asia Tenggara terus mampu menyerlah.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN