Genap selama empat tahun khidmat Alexis Sanchez bersama The Gunners. Dalam tempoh tersebut, Sanchez telah berjaya membantu Arsenal dengan 60 gol melalui 122 penampilannya bersama pasukan.
Kini, The Gunners harus menghadapi cabaran separuh daripada musim ini tanpa Sanchez selepas penyerang berusia 29 tahun itu berhijrah keluar ke Old Trafford dengan perjanjian pertukaran melibatkan Henrikh Mkhitaryan yang berpindah ke Arsenal.
Namun berita pemergian Sanchez tidak harus terus ditangisi oleh penyokong setia The Gunners.
Jika dilihat akan prestasi Arsenal dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad kendalian Arsene Wenger itu terbukti masih bermain dengan cemerlang meskipun tanpa penyerang antarabangsa Chile tersebut.
Arsenal berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut menentang Crystal Palace (4-1) dan Chelsea (2-1). Dengan dua keputusan positif itu, ia membuktikan bahawa tanpa Sanchez Arsenal masih memiliki ramai lagi pemain yang berkualiti untuk mengalas tugas bagi memperkuatkan jentera pasukan pada baki saingan musim ini.
Kehilangan tonggak utama pasukan itu tidak memberi impak yang besar buat pasukan ketika ini. Arsenal dijangka akan terus mencapai keputusan yang positif untuk beberapa perlawanan seterusnya.
Kami tampilkan 4 sebab utama, mengapa Arsenal akan terus beraksi lebih baik tanpa Alexis Sanchez:
1. Kehadiran Mkhitaryan
Kehadiran Mkhitaryan sedikit sebanyak telah mengubat kekecewaan penyokong setia The Gunners selepas pemergian Sanchez dari Emirates.
Pemain kelahiran Armenia itu mampu bermain di posisi yang ditinggalkan Sanchez, sebagai penyerang sayap atau ‘player maker’ untuk membantu serangan pasukan.
Mkhitaryan boleh digandingkan bersama Ozil untuk membantu Lacazette dibahagian serangan. Kedua-dua pemain ini mampu dijadikan gandingan mantap di bahagian tengah untuk berperanan mengatur serangan The Gunners.
Perkara ini diakui sendiri oleh Wenger yang dipetik melalui Soccerway: ” Saya suka Mkhitaryan beraksi bersama pemain Arsenal. Kami(Arsenal) telah banyak kali beraksi menentangnya ketika dia bersama Manchester United.”
“Saya melihat, dirinya mempunyai kualiti permainan yang bagus dan sesuai dengan corak permainan Arsenal.”
“Kami kehilangan Sanchez, tetapi kami memiliki Mkhitaryan. Mkhitaryan seorang pemain yang serba boleh, dia mampu bermain di setiap posisi.”
“Jika saya gandingkan dia bersama Ozil, pastinya kedua-dua mereka akan membantu Lacazette menghasilkan gol untuk Arsenal.”
Mkhitaryan beraksi cemerlang bersama Red Devils pada awal musim dengan membantu menyumbang lima bantuan gol dalam tiga kali penampilannya bersama pasukan tersebut.
Namun pretasinya merosot dan terus tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Jose Mourinho.
2. Mampu Mengawal Corak Serangan Dengan Lebih Baik
Sedar atau tidak, Sanchez sering menjadi titik lemah di posisi serangan pasukan Arsenal sebelum ini. Bukan kerana kualitinya, tetapi kerana kecerendungan kawalan bolanya. Jika diperhatikan, Sanchez sering memegang bola terlalu lama.
Tidak dinafikan, Sanchez mampu melakukan gelecekan yang baik dengan melepasi satu atau tiga pemain lawan dalam waktu yang sama. Jika berjaya, ia akan membuka ruang pertahanan lawan sekaligus berjaya membantu mencipta jaringan gol.
Tetapi sebaliknya bakal terjadi jika gagal. Hal ini akan membawa padah buat benteng pertahanan Arsenal. Pasukan lawan berpotensi melakukan serangan balas (counter attack) dengan pantas.
Apatah lagi, jika Sanchez kehilangan bola di kawasan tengah perlawanan. Oleh itu, tanpa Sanchez, sekurang-kurangnya Arsenal ketika ini dapat mengurangkan risiko menerima serangan balas pihak lawan.
3. Pemain Akan Bermain Dengan Lebih Baik
Selepas kehilangan Sanchez, masalah baru yang bakal dihadapi Arsenal seterunya ialah untuk mengekalkan Mesut Ozil dan Jack Wilshare di Emirates.
Kontrak Ozil dan Wilshare di Arsenal dijangka bakal berakhir pada penghujung musim ini. Pastinya Wenger merupakan individu yang paling ‘pening’ ketika ini.
Wenger harus melakukan sesuatu bagi memastikan tonggak penting The Gunners ini akan terus kekal bersama pasukan pada musim akan datang.
Hal ini menjadi masalah besar bagi Wenger, tetapi tidak bagi pemain-pemain lain. Bagi pemain seperti Granit Xhaka, Aaron Ramsey dan Alex Iwobi, kesempatan ini harus dimaanfaatkan sebaiknya.
Mereka harus bersaing secara sihat untuk menambat hati Wenger agar diberikan peluang secara kerap untuk disenaraikan ke dalam kesebelasan utama pasukan.
Jika dilihat dalam dua perlawanan terakhir Arsenal, pemain mereka berjaya mempamerkan aksi yang menyakinkan. Alex Iwobi berjaya menyumbang satu gol membantu Arsenal menewaskan Crystal Palace 4-1, manakala G. Xhaka pula berjaya mencetak gol kemenangan ketika menentang Chelsea pada separuh akhir Carabao Cup.
Kesemua pemain Arsenal kini berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang. Ini membuktikan masing-masing mahu bersaing merebut posisi serangan pasukan sekaligus berjaya membawa Arsenal berada di landasan yang terbaik dengan mencapai dua kemenangan berturut-turut.
4. Corak Pemainan Lebih terbuka
Kehilangan Sanchez tidak bererti Arsenal bakal mengalami masalah besar untuk mengemudi jentera serangan. Ini terbukti, selepas dua perlawanan terakhir yang dihadapi Arsenal.
Wenger dan para pemain sudah berjaya membuktikan bahawa pasukan mereka mampu kekal berada dalam prestasi yang terbaik dan tidak hanya bergantung harapan kepada Sanchez sepenuhnya.
Sejak ketiadaan Sanchez, corak pemainan Arsenal lebih teratur dan para pemain kini bebas untuk bergerak di setiap posisi.
Pemain seperti Xhaka, Iwobi kini bebas melakukan serangan, dan pastinya Lacazette tidak perlu lagi mengharapkan hanya kepada seorang pemain sahaja membantunya untuk mencipta jaringan.
Kesimpulan
Selepas ini Arsenal bakal bertemu Swansea City di Liberty Stadium. Henrikh Mkhitaryan pasti mengharap untuk disenaraikan oleh Arsene Wenger untuk melakukan penampilan pertama sebagai The Gunners.
Dalam aksi sulungnya bersama The Gunners, pasti beliau akan menjadi tumpuan penyokong, apakah beliau mampu mengalas tugas yang ditinggalkan Sanchez ?
Soalan yang lebih besar ialah, mampukah Arsenal kekal kompetitif tanpa Alexis Sanchez? Sama-sama kita nantikan.