7 Kapten Pasukan Paling Berpengaruh Sepanjang Zaman Liga Malaysia

Watak kapten pasukan di dalam sesebuah pasukan bola sepak boleh dianggap mempunyai kepentingan yang sama seperti memiliki seorang jurulatih yang berkaliber.

Jurulatih melatih pemain ketika di sesi latihan dan memberi arahan di sisi padang ketika perlawanan. Seorang kapten berperanan memimpin pasukannya di atas padang, dan merupakan suara kepada pasukan ketika berada di dalam padang.

Sejak era semi pro sehinggalah ke era Liga Super Malaysia, bola sepak negara telah menyaksikan ramai kapten-kapten pasukan yang berkebolehan.

Artikel pada kali ini menampilkan 7 kapten pasukan yang paling berpengaruh pilihan Semuanya BOLA untuk bacaan anda.

1. Khairul Azman Mohamed (Sabah)

Khairul Azman Mohamed hanya beraksi bersama dua pasukan sepanjang karier profesional di Liga Malaysia. Menyertai negeri kelahiran Pahang di usia remaja pada 1985, penjaga gol ini tampil lebih 300 kali sepanjang 10 tahun karier bersama skuad Tok Gajah.

Pada 1995, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Sabah, dan membantu skuad negeri di bawah bayu itu menjuarai Piala FA pada musim pertamanya.

Musim berikutnya, Khairul turut membantu Sabah muncul juara Liga Perdana Malaysia 1.

Sumber: Chedinsphere

Khairul Azman Mohamed boleh dikatakan memiliki pakej yang lengkap dari segi fizikal. Beliau memiliki saiz sepasang tangan dan depaan yang agak jarang dimiliki oleh penjaga gol tempatan kita termasuk di Asia.

Selain daripada kebolehan luar biasa di hadapan gawang, Khairul Azman turut mempunyai watak kepimpinan yang tinggi sehingga turut mengambil peranan sebagai kapten pasukan.

Walaupun ketika belum bergelar kapten, suara beliau jelas lantang memberi arahan kepada barisan pertahanan, membuktikan nilai kepimpinan adalah semulajadi pada penjaga gol kelahiran Kuantan ini

Selain daripada kejuaraan Piala FA pada 1995, Khairul Azman turut membantu Sabah muncul naib juara Piala Malaysia sebanyak 3 kali iaitu pada 1996, 2002, dan 2003.

2. Ahmad Shahrul Azhar (Perak)

Bermain di posisi tengah, berjersi No.7, dan merupakan kapten pasukan Perak. Penyokong Perak TBG pasti tahu gambaran sedemikian merujuk kepada bekas kapten ikonik kesayangan mereka, Ahmad Shahrul Azhar.

Pernah berhijrah ke Negeri Sembilan pada 1998 sehingga 1999, Ahmad Shahrul Azhar kembali menyertai Perak yang pada ketika itu di bawah bimbingan mendiang Karl Heinz Weigang.

Diberikan tanggungjawab untuk memakai lilitan kapten di antara 2000 sehingga 2008, Ahmad Shahrul Azhar sentiasa memastikan kehadiran beliau dirasai oleh lawan.

Piala Malaysia

 

Sepanjang karier di Liga Malaysia, beliau turut pernah terpalit dengan beberapa kontroversi di atas padang. Namun demikian, anda tidak boleh menafikan bahawa ia adalah kerana kesungguhan dan perasaan sayang beliau untuk pasukan yang diwakili.

Antaranya, Ahmad Shahrul pernah dikenakan hukuman berat oleh FAM kerana kekasaran terhadap pemain import MPPJ, Rashid Zmama pada musim 2005.

Sepanjang menggalas peranan sebagai kapten pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pernah membantu Perak muncul juara Piala Malaysia pada 2000.

Cukup mahir dengan selok belok bola sepak di Perak, hari ini beliau adalah pengurus skuad Liga Super Perak TBG.

3. Shukor Adan (Selangor, N.Sembilan, Felda United)

Di antara kapten pasukan yang tersenarai di dalam artikel ini, Shukor Adan disifatkan antara yang paling istimewa.

Ini adalah kerana pada usia 38 tahun, pemain ini masih beraksi dengan penuh semangat dan kegigihan di atas padang, dan merupakan kapten pasukan Felda United pada hari ini.

Karier Shukor Adan bermula bersama Negeri Sembilan. Namun antara pencapaian terbaik sebagai kapten semestinya apabila membantu Selangor mencipta kejayaan treble, menjuarai Liga Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005.

Selepas kembali menyertai Negeri Sembilan, pemain ini jelas masih bernafsu untuk mengejar kejuaraan apabila turut membantu skuad Hobin Jang Hobin.

Shukor Adan

 

“Ingatkan bila dah tua tua macam ni dah tak laku untuk anugerah pemain terbaik Final, ini adalah untuk semua pasukan Negeri Sembilan dan pemain,” ujar Shukor Adan selepas Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia 2009.

Pada 2011, Shukor Adan dan Negeri Sembilan sekali lagi muncul juara Piala Malaysia, menghalang Terengganu bergelar juara berganda pada musim tersebut setelah menjuarai Piala FA.

Shukor juga hampir membawa Felda United ke aksi perlawanan akhir Piala Malaysia, namun dinafikan oleh Kedah di pusingan kedua separuh akhir di Alor Setar pada 2017.

Shukor juga pernah bergelar kapten skuad kebangsaan ketika masih aktif sebagai pemain negara di antara 2001-2014. Jelas sekali pemain ini boleh kita gelar sebagai ‘otai masih berbisa’, dan dilahirkan untuk menjadi seorang kapten (‘born to be a leader’).

4. Jalaluddin Jaafar (Pahang)

Selain daripada Shahzan Muda (2009), pemain ini hanya pernah beraksi untuk Pahang sepanjang karier profesionalnya.

Dikenali sebagai pemain pertahanan kental di posisi bek kanan, karier Jalaluddin bermula sebagai seorang pemain sayap kanan dan di posisi tengah bersama skuad SUKMA Pahang pada 1996.

Jalaluddin Jaafar adalah watak yang sangat dihormati ketika bersama Pahang. Terkenal dengan daya kepimpinan yang tinggi, pemain ini juga mempunyai kebolehan membaca gerakan lawan dan permainan yang tajam.

 

Sepanjang bersama Pahang, Jalaluddin telah memenangi kesemua pertandingan domestik di dalam negara.

Pernah membantu skuad Tok Gajah bergelar juara liga pada 1999 dan 2004, Jalaluddin turut memiliki 2 kejuaraan Piala FA (2006, 2014), dan kejuaraan Piala Malaysia pada 2013 dan 2014.

Jalaluddin Jaafar juga pernah memenangi Piala Sumbangsih pada 2014 untuk melengkapkan koleksi kabinet kejuaraan, sebelum mengumumkan persaraan pada 2015 selepas 18 tahun mewarnai liga bola sepak tempatan.

Secara keseluruhan, pemain ini telah tampil lebih daripada 400 kali dan menjaringkan 6 gol sepanjang tempoh bersama Pahang.

5. Abdul Jalil Ramli (Sarawak)

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Allahyarham Datuk Taha Ariffin pernah berkata:

“Jalil Ramli adalah seorang budiman, namun berperwatakan seperti seorang jeneral tentera ketika beraksi di atas padang.”

Demikianlah ungkapan mantan presiden FAS itu terhadap bekas kapten Sarawak yang mencipta nama di era Ngap Sayot pada lewat 80an dan pada awal 90an.

Selain daripada sikap kepimpinannya di atas padang, kehadiran Abdul Jalil mampu meniupkan semangat kepada rakan sepasukan yang beraksi di atas padang sehingga digeruni lawan, terutama ketika bertandang ke Stadium Negeri, Kuching.

Sumber: Shoot Sampei Bisak

Jasa beliau sangat besar kepada bola sepak Sarawak, dan merupakan kapten pertama pasukan tersebut yang meletakkan Sarawak berada di peta bola sepak Malaysia apabila membantu Sarawak muncul juara Piala FA 1992, menewaskan barisan bintang Kuala Lumpur, 2-1.

Antara aset dan kelebihan yang dimiliki oleh Jalil Ramli ialah kebolehannya melakukan lontaran jauh, sehingga ada kalanya menghasilkan gol.

Jalil terus berperanan sebagai kapten pasukan di era Alan Vest, dan merupakan tunjang kekuatan di bahagian tengah bersama-sama dengan Mohd. Ali Sapiee.

Jalil akhirnya bersara daripada bola sepak selepas membantu Sarawak muncul juara Liga Perdana Malaysia pada 1997.

Beliau turut hampir mencipta sejarah, apabila mengemudi Sarawak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 sebagai jurulatih, namun dikecewakan oleh Brunei dengan jaringan 2-1.

6. Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim)

Pemain tengah yang sinonim dengan penguasaan JDT di arena bola sepak tanah air ini memulakan karier bersama Selangor seawal tahun 2007.

Pernah berkelana selama semusim bersama KL Plus untuk mendapatkan pengalaman bermain, Safiq Rahim menyertai JDT selepas tamat prestasi cemerlang bersama Selangor dan juga skuad kebangsaan.

Bersama Selangor, Safiq pernah membantu Selangor meraih gelaran Liga Super dan Piala FA pada 2009, dan mengulagi kejuaraan di Liga Super pada musim berikutnya bersama Red Giants.

Kredit: Goal

Karier bola sepak Safiq semakin berkembang apabila menjadi tunjang kejayaan JDT dalam mendominasi kejuaraan Liga Super selama 4 musim berturut-turut.

Selain daripada kejuaraan Piala AFC 2015, kapten JDT ini melengkapkan senarai koleksi kejuaraan pada musim lalu, apabila membantu skuad Harimau Selatan bergelar juara Piala Malaysia.

Bergandingan dengan Natxo Insa di bahagian tengah, pemain ini menjadi sandaran sebagai kapten pasukan sejak 2014. Aset permaianan beliau ialah keupayaan melakukan lorongan-lorongan berbahaya kepada rakan penyerang selain daripada keupayaan melakukan hantaran jauh yang tepat.

Kebolehan menjaringkan gol dari sepakan percuma oleh Safiq Rahim masih lagi dianggap antara yang terbaik di dalam negara.

7. Badhri Radzi (Kelantan)

Karier profesional Badhri Radzi yang lebih sinonim dengan panggilan Piya di kalangan penyokong bola sepak Kelantan mula mendapat perhatian ketika bersama JPS Kelantan, membantu pasukan tersebut muncul juara Piala FAM.

Selepas cemerlang bersama JPS Kelantan, khidmat Piya ditagih oleh PDRM dan sekali lagi Piya tidak mengecewakan apabila berjaya membantu The Cops bergelar juara Liga Perdana pada musim 2007.

Setelah beberapa tahun berkelana, akhirnya Piya kembali ke Kelantan pada 2008, dan dilantik sebagai kapten pada musim berikutnya ketika skuad The Red Warriors itu di bawah bimbingan Peter James Butler.

“Ketika mula-mula dilantik sebagai ketua pasukan, saya menolak tawaran itu kerana masih ada pemain senior yang layak memakai lilitan ketua pasukan berbanding saya.”

Kredit: Pemilik gambar

“Namun, setelah membuat undian dan ketua jurulatih, Peter James Butler, berkeras mahukan saya menjadi ketua pasukan, akhirnya saya menerima tugas tersebut, bermula pada tahun 2009,” ujar Piya ketika mengimbau saat mula-mula memakai lilitan kapten.

Era Piya mengetuai Kelantan dianggap sebagai zaman emas bola sepak negeri dari pantai timur itu. Juara Liga Super Malaysia pada 2011 dan 2012, kejuaraan Piala Malaysia pada 2010 dan 2012, dan Piala FA pada 2012 dan 2013, Piya adalah antara pemain kelahiran Kelantan yang paling berjaya dari segi kejuaraan.

Musim lalu adalah antara musim yang ingin dilupakan buat kapten TRW ini, selepas Kelantan kerap kali dipalit dengan pelbagai isu di luar padang.

Diambil alih oleh pasukan pengurusan yang baharu pada penghujung musim lalu, Kapten Piya pasti mengharapkan sinar kejayaan kembali menerangi bola sepak Kelantan.

Rumusan

Jeneral di atas padang, pakar motivasi, idola, pahlawan. Anda boleh gelarkan apa sahaja karakter kepada peranan kapten pasukan tanpa menafikan kehadiran mereka di atas padang.

Artikel ini merupakan 7 kapten pasukan pilihan kami. Apa pilihan anda? Nyatakan kapten pasukan Liga Malaysia pilihan anda di ruangan komen.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN