Penjaga gol Manchester United, David De Gea mengambil langkah tenang untuk tidak terburu-buru bagi menandatangani kontrak lanjutan bersama United tatkala Jose Mourinho mengharapkan pemain kelahiran Sepanyol itu supaya melakukan rundingan tersebut.
De Gea dilaporkan akan menangguhkan urusan berkenaan kontraknya itu sehingga tamat musim ini.
Beliau merupakan sasaran utama buat gergasi Sepanyol, Real Madrid sejak beberapa tahun yang lalu dan semakin hampir untuk menyarung jersi juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah dua tahun berturut-turut itu pada tahun 2015.
Namun perpindahan tersebut menemui jalan buntu pada saat-saat akhir akibat kesilapan teknikal yang dialami.
”Saya tidak rasa ini merupakan masa yang sesuai buat saya untuk membicarakan mengenai masa depan. Bukan masanya untuk bercakap tentang kontrak,” kata De Gea kepada Sky Sports.
”Kami mempunyai banyak perlawanan untuk dihadapi diantara sekarang hinggan tamat musim ini dan perkara pertama yang perlu kami fikir adalah berkenaan perlawanan bertemu Burnley minggu ini.”
”Semuanya adalah berkaitan memberikan tumpuan, fokus, bekerja keras, bersaing dalam sesi latihan, mengekalkan kecergasan dan mendapatkan mata.”
Walaupun masih belum mahu memikirkan soal melanjutkan kontraknya di Old Trafford, David De Gea mengakui tentang perasaannya beraksi di ‘sebuah pasukan yang istimewa’.
”Menjadi sebahagian daripada adalah sesuatu yang istimewa buat diri saya sendiri,” ujar De Gea. ”Menjadi pemain dan sebahagian dari kelab ini adalah istimewa, jadi apabila anda memakai jersi dan beraksi, itu sesuatu yang anda banggakan dan sangat istimewa.”
”Sebagai sebahagian daripada kelab hebat seperti Manchester United, anda dapat memenuhi emosi dan menyedari bahawa betapa kelab ini begitu bermakna buat peminatnya dan orang yang bekerja disini.”
David De Gea telah mempamerkan aksi yang begitu mengagumkan sewaktu beraksi terutamanya pada musim ini ketika menewaskan Arsenal 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris tempohari.