Kelab La Liga, Real Madrid dikatakan mula menimbangkan kemungkinan untuk melepaskan Cristiano Ronaldo ke kelab Eropah yang lain.
Ronaldo yang kini mengalami penurunan prestasi bersama Real Madrid hanya menjaringkan 4 gol dalam saingan La Liga pada musim ini.
Bekas kelabnya iaitu Manchester United dikatakan berminat untuk membawa pulang pemain tersebut ke Old Trafford.
Jika perpindahan ini berlaku, Ronaldo akan berkerja semula dengan bekas pengurus Real Madrid – Jose Mourinho.
Namun begitu, Real Madrid gemarkan persaingan berlaku dalam usaha untuk mendapatkan pemain tersebut dengan Paris Saint-Germain (PSG) turut dikatakan berminat.
Menurut sumber di England, perpindahan melibatkan Ronaldo ini menemui sedikit kesukaran apabila Real Madrid meletakkan nilai perpindahan sebanyak £89 juta.
Nilai tersebut disifatkan sebagai sebuah nilai perpindahan yang cukup tinggi buat pemain yang berusia 30-an ke atas.
Belum masanya
Menurut laporan di Sepanyol, Ronaldo sebenarnya mahukan kontrak baharu bersama pasukan tersebut.
Beliau dikatakan meminta untuk memperoleh kenaikan gaji yang akan membolehkan beliau memperoleh pendapatan setinggi bintang Barcelona – Lionel Messi.
Walaupun begitu, pihak Real Madrid telah membuat keputusan untuk menangguh dahulu proses pembaharuan kontrak tersebut.
Menurut mereka, waktu sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk kelab tersebut menawarkan lanjutan kontrak kepada pemain tersebut.
Real Madrid kini ditangga ke-4 La Liga dengan mengumpul 32 mata daripada 18 perlawanan.